suria

Penderitaan Nelayan Hidap Batuk Kering Dapat Perhatian Isteri PM

ALOR SETAR: Penderitaan seorang nelayan yang menghidap batuk kering dan kini tidak dapat turun ke laut mencari rezeki untuk menanggung sembilan anak dan isterinya mendapat perhatian isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Rosmah begitu "tersentuh" apabila dimaklumkan oleh Pengerusi Yayasan Prihatin Kemiskinan Pendidikan Kedah (YPKPK) Zuraidi Rahim mengenai kesengsaraan hidup Armishah Arshad, 54, dan telah meminta Zuraidi menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada keluarga nelayan itu.

"Isteri Perdana Menteri meminta saya menyampaikan sumbangan beliau sebanyak RM3,000 dan salam kepada keluarga Amirshah. Hari ini saya datang menunaikan hajat beliau itu," kata Zuraidi kepada Bernama.

Kunjungan Zuraidi ke rumah nelayan itu di Kampung Jambu Luar, Mukim Pengkalan Kundor, dekat sini hari ini disertai Setiausaha Umno Bahagian Kuala Kedah, Haris Fadilah Husin dan beberapa ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kampung itu.

Armishah dan isterinya Hamsiah Saad begitu terkejut dan bersyukur apabila dimaklumkan bahawa sumbangan itu adalah daripada isteri Perdana Menteri.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada isteri Perdana Menteri, YPKPK dan Umno Kuala Kedah yang sudi membantu kami. Inilah kali pertama kami mendapat bantuan," kata Hamsiah, 49.

Menurut Zuraidi wang sumbangan Rosmah itu adalah bagi pembelian makanan sebanyak RM200 setiap bulan.

Zuradi turut menyampaikan sumbangan YPKPK berupa pakaian sekolah dan wang untuk pembayaran yuran dan pembelian buku sekolah anak-anak nelayan itu manakala Haris Fadilah menyampaikan sumbangan Umno Bahagian Kuala Kedah berupa beras dan makanan.

Amirshah berkata dia dijangkiti batuk kering 10 tahun lepas dan keadaannya bertambah serius sejak tiga tahun lepas menyebabkan dia tidak dapat turun ke laut.

"Kesusahan kami memuncak menjelang sesi persekolahan dibuka baru-baru ini. Enam daripada sembilan anak saya berumur 21 hingga 5 tahun masih belajar.

Katanya permohonan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dua tahun lepas ditolak malah Syarikat Air Darul Aman (SADA) pula memotong bekalan air kerana bil tertunggak hampir RM600 bulan lepas.

Hamsiah berkata dia berniaga nasi lemak di tepi jalan tidak jauh dari rumah mereka setiap pagi dan memperoleh kira-kira RM15 yang digunakan untuk perbelanjaan harian.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain