suria

MCA Jamin Golongan Muda Diberi Peluang Jadi Calon PRU 13

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memberi jaminan bahawa golongan muda dalam parti itu akan diberi peluang menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-13, jika mereka berpotensi memenanginya.

Beliau berkata peluang itu tidak hanya melibatkan anggota Pemuda, malah turut dibuka kepada Wanita dan sayap utama parti berkenaan.

"Dalam usaha menentukan calon, apa yang penting adalah peluang mereka untuk menang...bukan kerana dia Pemuda, Wanita atau MCA. Harapan kita agar Pemuda akan terus menyokong usaha-usaha parti, satu padukan ahli dan pastikan kestabilan serta perpaduan dalam parti," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog dengan Exco Pemuda MCA di sini, Khamis.

Hadir sama Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pemuda MCA negeri.

Dalam pertemuan hampir dua jam itu, pelbagai perkara dibincangkan, termasuk peluang untuk sayap Pemuda, terutama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Dr Chua turut menyeru anggota Pemuda menggiatkan usaha turun padang bertemu pengundi pelbagai kaum dan menjalankan aktiviti seperti pendaftaran pengundi serta publisiti.

Beliau berharap sesi dialog dapat diadakan lebih kerap bagi memastikan MCA dan sayap Pemuda bergerak dalam halatuju yang sama, selain menjamin kesinambungan kepimpinan parti.

Dalam perkembangan lain, Dr Chua berkata sudah tiba masanya untuk rakyat menolak perjuangan parti politik yang tidak mempunyai semangat 1Malaysia dan tidak menyokong usaha memupuk perpaduan antara pelbagai kaum di negara ini.

Beliau berkata mana-mana parti yang tidak mampu menjamin perpaduan tidak sepatutnya mendapat sokongan rakyat.

Dr Chua mengulas pengiktirafan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Ryan Tan Chuan Min, 25, yang menggondol 'Plural Plus Paley Centre Media Education Awards' kerana menghasilkan sebuah iklan bertemakan perpaduan kaum tahun lepas.

Beliau berkata ia sekaligus menolak pendapat segelintir pihak yang mendakwa slogan 1Malaysia adalah slogan politik.

"Saya tak percaya PBB dipengaruhi parti BN (Barisan Nasional), mereka lebih tertarik dengan mesej iaitu 'perpaduan dalam kepelbagaian'.

"Bila ada pihak tertentu tolak slogan ini dipamer pada umum, jelas mereka tidak mempunyai semangat 1Malaysia dan tak sokong usaha pupuk perpaduan kaum.

"Sudah sampai masa rakyat tolak perjuangan parti-parti tersebut," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tujuh GRO Rakyat China Diberkas

Artikel Berikut

Artikel Lain