suria

Khir Toyo Dibicarakan Jun Depan

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo akan dibicarakan atas tuduhan mendapatkan dua lot tanah di Seksyen 7, di sini dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga asal, pada Jun depan di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menetapkan perbicaraan kes berjalan selama tiga minggu bermula 6 sehingga 24 Jun depan.

Beliau juga menetapkan supaya Mohamad Khir, 45, dibicarakan bersama dengan Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni, 52, yang didakwa bersubahat untuk melakukan kesalahan tersebut.

Kes itu disebut untuk kali pertama di Mahkamah Tinggi, selepas kedua-dua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen bagi tuduhan tersebut pada 6 Disember lalu.

Mohamad Khir yang menjawat jawatan Menteri Besar pada 2001 sehingga Barisan Nasional tewas pada pilihan raya umum 2008 diwakili peguam-peguam M. Athimulan, Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Adzly Manas.

Barisan pembelaan bagi Shamsuddin pula dibarisi oleh peguam-peguam Datuk K. Kumaraedran dan Datuk C. Vijayakumar.

Hadir bagi pihak pembelaan ialah Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad dan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup dan C. Vignesh Kumar.

Pada prosiding itu, Mohamad Khir dan Shamsuddin masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula.

Mohamad Khir didakwa atas tuduhan mendapatkan bagi dirinya dan isteri, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di nombor 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, di sini pada harga RM3.5 juta sedangkan hartanah itu dibeli oleh Ditamas dengan harga RM6.5 juta pada 23 Disember 2004.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 29 Mei 2007 di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, di sini.

Mohamad Khir yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Shamsuddin pula didakwa bersubahat dengan Mohamad Khir untuk melakukan kesalahan tersebut di tempat dan masa yang sama.

Semasa kes di sebut di Mahkamah Sesyen, Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM750,000 dengan seorang penjamin, yang telah dijelaskan oleh mereka pada hari yang sama.

Turut berada di mahkamah pada hari ini, ialah sebilangan kecil penyokong yang hadir sebagai tanda sokongan.

Mohamad Khir meletakkan jawatan sebagai ketua pembangkang yang disandangnya sehari selepas didakwa di mahkamah.

Artikel Sebelum

Tujuh GRO Rakyat China Diberkas

Artikel Berikut

Artikel Lain