suria

Mahkamah Koroner Tidak Dapat Pastikan Punca Kematian Teoh Beng Hock

SHAH ALAM: Misteri yang menyelubungi kematian Teoh Beng Hock berterusan belum ada penghujungnya apabila Mahkamah Koroner di sini pada Rabu tidak dapat memutuskan sama ada pembantu politik kepada Exco Selangor itu membunuh diri atau dibunuh.

Koroner Azmil Muntapha Abas yang mendengar prosiding siasatan kematian Teoh memberikan keputusan terbuka yang bermaksud keterangan yang ada tidak mencukupi atau tidak mencapai tahap yang dikehendaki untuk merekodkan keputusan.

Bagaimanapun, Azmil Muntapha merumuskan Teoh mati antara pukul 7.15 dan 11.15 pagi, pada 16 Julai 2009 di luar koridor tingkat lima, Plaza Masalam, Seksyen 9, di sini.

Mayat Teoh ditemui pada seorang pekerja am plaza tersebut, Siti Zabedah Yahya pada antara pukul 1 dan 1.30 petang, hari yang sama.

“Saya juga maklum bahawa semua ahli patologi sebulat suara bersetuju bahawa kematian Teoh adalah disebabkan oleh kecederaan berganda yang dialaminya konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi,” katanya.

Semasa membacakan keputusan setebal 20 halaman, Azmil Muntapha berkata terdapat dua teori yang dibangkitkan oleh dua pihak berkepentingan, iaitu bunuh diri oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala keluarga mendiang pula menegaskan dia dibunuh.

SPRM dikaitkan dengan kematian Teoh memandangkan kali terakhir dia dilihat berada disitu untuk disoal siasat sebagai saksi berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan Kerajaan Negeri Selangor.

“Selepas bedah siasat kedua dilakukan, bukti kecederaan di bahagian leher merupakan elemen penting yang mencadangkan Teoh dibunuh, sementara SPRM kuat bergantung kepada penemuan nota bunuh diri oleh pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Ahmad Nazri Zainal di penghujung prosiding inkues berlangsung,” katanya.

Azmil Muntapha menambah, tiada contoh tulisan tangan Teoh diperoleh untuk pakar tulisan tangan, Wong Kong Yong membuat perbandingan kepada nota yang ditulis dalam Bahasa Melayu dan juga tulisan Cina, yang dikatakan ditemui dalam beg Teoh.

“Sebagai koroner, saya tidak berkelayakan untuk membuat penilaian semata-mata bergantung pada andaian. Saya hanya boleh mengandaikan bahawa nota itu ditulis oleh Teoh, tetapi tidak berkelayakan untuk mengatakan ia adalah nota bunuh diri.

“Dalam mempertimbangkan sama ada kematian disebabkan bunuh diri, saya mendapati terdapat beberapa isu yang tidak diselesaikan dan masih menjadi persoalan.

“Untuk merumuskan ia sebagai bunuh diri memerlukan saya membuat tekaan bagi mencantumkan titik-titik, yang tidak dapat saya terima. Justeru itu, saya menolak kematian mendiang adalah disebabkan bunuh diri,” katanya.

Tambahnya, bukti kecederaan di leher ditimbulkan selepas bedah siasat kali kedua oleh DR Shahidan Mohd Nor yang dalam keterangan bersumpahnya berkata, tekanan telah digunakan dalam menyebabkan kecederaan yang berlaku sebelum Teoh jatuh.

“Dr Shahidan juga memerhatikan bahawa mendiang telah mengalami kecederaan sebelum jatuh yang menyebabkan kekurangan oksigen di kepala yang menyebabkan hilang kesedaran.

“Pendapat ini disokong oleh Dr Pornthip Rojasunan (pakar patologi yang dibawa dari Thailand oleh Kerajaan Negeri Selangor) yang berpendapat mendiang mengalami tekanan objek tumpul di leher.

“Dr Peter Venezis (pakar dari Britain yang dibawa oleh SPRM) juga tidak menolak kemungkinan berlaku tekanan di bahagian leher.

“Saya berpendapat bukti kukuh yang mengesahkan kecederaan tersebut berlaku sebelum mendiang jatuh. Bagaimanapun, saya juga mendapati, tiada bukti kukuh yang dapat mengesahkan melampaui keraguan yang munasabah bahawa kecederaan inilah yang telah menyebabkan kematian mendiang,” katanya.

Tambah Azmil Muntapha, laporan asid deoksiribonukleik (DNA) oleh Dr Seah Lay Hong mengatakan terdapat satu DNA daripada individu lelaki yang tidak diketahui pada tali pinggang yang dapat mengaitkan penglibatan pihak ketiga dalam kematian itu.

“Untuk membuat andaian mengaitkan individu yang tidak diketahui itu dengan kecederaan sebelum jatuh umpama membuat tekaan yang tidak mempunyai nilai keterangan. Oleh itu, saya menolak punca kematian adalah disebabkan dibunuh,” katanya.

Azmil Muntapha pada akhir keputusannya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat dalam prosiding inkues.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain