suria

Remaja Mengaku Salah Cabul Anak Majikan

SHAH ALAM: Seorang remaja berusia 22 tahun merayu agar diberi peluang untuk berjumpa ahli keluarganya sebelum dihukum kerana mencabul anak majikannya, pada hari Krismas lalu.

Chong Hui Fai yang mengaku salah atas tuduhan tersebut memohon Majistret Norkamilah Aziz untuk menangguhkan prosiding mahkamah ke satu tarikh yang lain.

Norkamilah membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 10 Januari ini sebagai tarikh jatuh hukum.

Beliau juga membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan untuk tidak menganggu mangsa.

Terdahulu, pada prosiding Isnin, Chong yang beralamat di Kapar, Klang, dekat sini didakwa mencabul mangsa yang berusia 12 tahun di bilik tidur mangsa.

Lelaki bertubuh sederhana dan rendah itu didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 6.30 pagi, 25 Disember lalu di sebuah rumah di Setia Alam, Klang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharon Anak Jirin mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama 10 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Artikel Lain