suria

KSN Belakangkan Etika Profesional Pegawai Tinggi Kerajaan - MB Selangor

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor kesal dengan sikap Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang dengan sengaja membelakangkan proses pemilihan yang telah ditetapkan bagi memilih Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, KSN telah mengabaikan proses pemilihan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor mengikut Nota Amalan Perkhidmatan Awam.

Jelas beliau, menurut Nota Amalan Perkhidmatan Awam tersebut, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri perlu mendapatkan nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat Pusat dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Proses pemilihan itu memerlukan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri mengemukakan calon yang sesuai bagi mengisi jawatan berkenaan dan mendapatkan kelulusan Menteri Besar sebelum diserahkan kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor untuk diperkenan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.

Selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri memanjangkan nama calon berkenaan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat Pusat untuk proses dokumentasi pelantikan.

Abdul Khalid berkata, kerajaan Negeri Selangor telah mengambil langkah sewajarnya dengan membentuk sebuah jawatankuasa khas diketuai Speaker Dewan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim untuk menemuduga semua lapan calon yang dicadangkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri.

Menurutnya, jawatankuasa itu telah memilih tiga calon terbaik berdasarkan jasa-jasa mereka selain kriteria yang diperlukan bagi mengisi jawatan strategik dan paling kanan dalam pentadbiran awam Kerajaan Negeri Selangor.

Ketika mengumumkan pelantikan Mohamad Khusrin, kata Abdul Khalid, KSN bukan saja membelakangkan Menteri Besar malah mengabaikan proses pemilihan calon berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman.

"Perlu dinyatakan di sini, tindakan Tan Sri Mohd Sidek Hassan itu bukan sahaja melanggar Perlembagaan, tidak bertanggungjawab serta tidak profesional malah boleh dianggap bermotifkan politik; sebagai salah satu usaha untuk mencabar kredibiliti Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor," katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambah Abdul Khalid, lebih merunsingkannya ialah tindakan Tan Sri Mohd Sidek Hassan tersebut telah menghantar mesej yang tidak sihat iaitu kemampuan dan pengalaman bukan keutamaan dalam mempromosikan kenaikan pangkat pegawai kerajaan.

"Mesej ini sangat bahaya apatah lagi sememangnya perkhidmatan kerajaan acap kali dikritik sebagai tidak efisien," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain