suria

Majlis Belia Felda Turun Padang Perjelas Isu Di Dun Tenang

LABIS: Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) akan turun padang membantu Pengerusi Felda yang baru Tan Sri Mohd Isa Samad menerangkan isu-isu mengenai agensi itu kepada pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Presidennya Anuar Manap berkata, kempen penerangan itu adalah untuk memastikan golongan muda di kawasan Felda di DUN berkenaan mendapat maklumat tepat dan sahih.

Katanya, ketika ini ada pihak yang tidak dikenali telah mula menyebar "flyers" berunsur tohmahan di kawasan-kawasan Felda di DUN Tenang untuk kepentingan dan matlamat mereka.

"Sehubungan dengan itu, MBFM akan memastikan segala tohmahan ini dijawab dengan baik dan usaha-usaha penjelasan terhadapnya (tohmahan) itu dilakukan secara berterusan," katanya kepada Bernama, Rabu.

Kebanyakan pengundi Melayu di DUN Tenang tinggal di beberapa kawasan Felda seperti Felda Cemplak, Felda Cemplak Barat dan Felda Tenang.

Berikutan kematian wakil rakyat DUN Tenang, allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil akan diadakan pada 30 Januari ini menyusuli proses pencalonan pada 22 Januari.

Pada pilihan raya umum 2008, Sulaiman menewaskan calon Pas, Mohd Saim Siran dengan kelebihan 2,491 undi.

Anuar berkata, warga muda yang tinggal di Felda kini amat bertuah kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil berat terhadap kebajikan mereka.

Perdana Menteri, katanya, telah meluluskan pembinaan gelanggang Futsal di setiap rancangan Felda, dengan dua daripada gelanggan tersebut sedang dalam pembinaan di Felda Cemplak Barat dan Felda Tenang.

Mohd Isa akan menggantikan Tan Sri Dr Yusof Nor sebagai pengerusi Felda pada 1 Januari depan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain