suria

Tiga Beranak Nyaris Maut, Bot Karam Dipukul Ombak Besar

DUNGUN: Tiga beranak yang baru pulang menangkap ikan nyaris lemas apabila mereka tercampak keluar dari bot bubu yang dinaiki, selepas dipukul ombak besar dalam kejadian di muara Sungai Dungun, di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, bot yang dinaiki Yaacub Othman, 54, serta dua anak lelakinya Nor Afzanizam, 26, dan Nor Asrul, 23, terbalik dipukul ombak besar ketika memasuki muka kuala sebelum karam.

"Saya, ayah dan adik tercampak ke laut dan saya hanya sempat mencapai tangan adik untuk mengelak kami terpisah, manakala ayah terpisah agak jauh," kata Nor Afzanizam ketika ditemui Bernama di Hospital Dungun, di sini.

Katanya mereka berdua berjaya berpaut pada tong plastik dan terpaksa 'bertarung' dengan ombak besar selama lebih 20 minit sebelum usaha menyelamat dilakukan oleh dua penduduk kampung yang menaiki sebuah bot gentian kaca.

"Namun bot tersebut terlalu laju sebab ingin mengelak dipukul ombak besar dan mereka hanya sempat mencapai tangan saya," katanya menambah dia kemudian digegaskan ke daratan manakala adiknya masih berada di laut.

Nor Afzanizam berkata ayahnya pula yang sempat berpaut pada pelampung berjaya berenang ke daratan dan ditemui dalam keadaan lemah di pantai Kampung Tanah Lot, Tanjung Lipat oleh pasukan mencari dan menyelamat pada kira-kira pukul 7.15 petang.

Yaacub kemudian dikejarkan ke Unit Kecemasan hospital tersebut.

Keadaan menjadi kecoh seketika apabila kaum keluarga mereka yang terlibat dimaklumkan pihak hospital hanya dua mangsa dibawa ke situ sedangkan pihak berkuasa memberitahu kesemua mangsa telah diselamatkan.

Keadaan itu menyebabkan pasukan mencari dan menyelamat sekali lagi ke tempat kejadian dan berjaya menemui Nor Asrul dalam keadaan lemah di pantai, kira-kira 100 meter dari tempat insiden tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau turut menasihatkan nelayan agar tidak turun ke laut ketika musim tengkujuh.

"Jika turun ke laut saya minta mereka mengutamakan aspek keselamatan termasuk memakai jaket keselamatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain