Pesawat Thai Bawa Pulang Mayat Kemalangan Bas - Semasa | mStar

Pesawat Thai Bawa Pulang Mayat Kemalangan Bas

SHAH ALAM: Mayat 25 pelancong Thai yang terbunuh dalam kemalangan bas di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai dua hari lepas dibawa pulang dengan pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Thailand pada Rabu.

Kedua-dua pesawat itu berlepas ke Terminal Tentera Sayap 6, Lapangan Terbang Don Muang, Bangkok kira-kira pukul 5 petang dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dekat sini.

Seorang daripada 10 pelancong Thai yang cedera dalam kejadian itu juga dibawa pulang ke Bangkok dengan salah sebuah pesawat itu.

Kesemua mayat itu dibawa dengan sebuah treler dan sebuah van dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang siap dimasukkan ke dalam keranda dan tiba di pangkalan ini pukul 3.30 petang.

Kedua-dua pesawat itu tiba di pangkalan pada pukul 1.37 petang dan 2 petang bersama kira-kira 30 anggota keluarga mangsa yang maut dan juga Setiausaha Menteri Luar Thailand Chavanond Intarakomalyasut dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Konsular, Kementerian Luar Thailand M. Ittarong.

Tiga mangsa yang cedera dibawa dengan ambulans ke Bukit Kayu Hitam untuk dihantar ke Haadyai manakala enam lagi masih menerima rawatan di HRPB.

Kerajaan Thai telah menghantar dua pesawat itu untuk membawa pulang mayat 25 warganya yang terbunuh dalam kemalangan bas itu, yang turut mengorbankan pemandu bas dan pemandu pelancong warga Malaysia, manakala 10 lagi pelancong Thai cedera.

Sementara itu, M. Ittarong berkata kemalangan ngeri seperti itu yang sememangnya tidak dijangka, tidak akan sesekali merenggangkan hubungan antara dua negara yang sedia terjalin.

Ittarong berkata beliau menghargai dan berterima kasih atas kerjasama dan layanan baik yang diberikan kerajaan Malaysia dalam menyediakan keperluan perubatan, tempat tinggal ahli keluarga mangsa hinggalah kepada proses penghantaran pulang mayat mangsa.

"Kemalangan ini sesuatu yang menyedihkan, mereka semua (pelancong) datang ke sini untuk menikmati percutian mereka, malangnya kejadian ini berlaku," katanya.

"Tetapi kami juga ingin berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan Menteri Luar Malaysia atas jasa baik mereka... kami amat menghargainya," katanya.

Keluarga mangsa bagaimanapun gagal ditemubual memandangkan mereka masih lagi bersedih atas kejadian malang yang menimpa ahli keluarga mereka.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Heng Seai Kei berkata beliau berharap rakyat Thailand khususnya tidak serik untuk mengunjungi dan melawat Malaysia atas apa yang menimpa kesemua mangsa.

"Saya harap rakyat Thailand tetap akan mengunjungi negara ini seperti biasa dan mahu hubungan dua hala yang sedia ada berjalan dengan baik," katanya yang mewakili Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Kemalangan maut dua hari lalu itu menyebabkan 25 pelancong warga Thailand dan dua rakyat Malaysia terbunuh selepas bas persiaran yang mereka naiki terbalik ke dalam longkang di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai pada pukul 11.40 pagi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

Artikel Lain