suria

SPRM Buat Laporan Polis Hari Ini

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat laporan polis berhubung tohmahan peguam kepada Mazhazmi Jamaludin, Shamsul Sulaiman yang mendakwa anak guamnya didera semasa dalam tahanan reman, Selasa.

Menurut satu kenyataan SPRM, tiada sebarang aduan dibuat oleh bekas Pengurus Besar Kanan Kebolehan Marin Sime Darby Engineering Sdn Bhd itu berhubung deraan mahupun kecederaan dimaklumkan di hadapan Majistret Mahkamah Kajang semasa permohonan dibuat untuk menyambung reman pada 20 Jun lepas.

"Tertuduh dibawa untuk pemeriksaan kesihatan di Klinik Mediviron yang terletak di Putrajaya pada 22 Jun 2010 sebelum dilepaskan daripada tahanan reman," menurut kenyataan itu.

Pemeriksaan itu dibuat untuk memastikan mana-mana pihak yang berada dalam tahanan reman SPRM dalam keadaaan sihat dan tidak cedera sepanjang tempoh reman tersebut.

"Hasil pemeriksaan doktor pada tarikh yang sama (22 Jun) mengesahkan bahawa tertuduh adalah sihat dan tidak menunjukkan sebarang kesan dan tanda-tanda kecederaan mahupun luka pada tubuh badan tertuduh," menurut kenyataan itu.

Semasa Mazhazmi, 36, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini, Shamsul memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya telah didera ketika disoal SPRM dan mendakwa dibogelkan, ditutup mata dan diminta berdiri dengan sebelah kaki oleh pegawai SPRM semasa sesi soal jawab.

Bekas Pengurus Besar Kanan Kebolehan Marin Sime Darby Engineering Sdn Bhd didakwa menerima RM200,000 berhubung penglibatannya di dalam penjualan dan pembinaan 'Barge'. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain