suria

Diskaun Lima Peratus Bagi Pembayaran Cukai Tanah Secara Online Di WP

KUALA LUMPUR: Pembayaran cukai tanah secara online di Wilayah Persekutuan akan diberi diskaun sebanyak lima peratus apabila cadangan insentif itu dikuatkuasakan dalam masa terdekat, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata langkah itu bertujuan memudahkan pelanggan membuat pembayaran dan mendapatkan maklumat tertentu dengan pantas, selain menjimatkan masa mereka dalam sebarang urusan hasil tanah.

"Sehingga 15 Disember lepas, jumlah pelanggan yang menggunakan perkhidmatan secara online di Wilayah Persekutuan adalah sebanyak 11.2 peratus, dengan jumlah transaksi bernilai RM3.2 juta.

"Ini menunjukkan maklum balas positif di kalangan pelanggan yang berurusan secara online dengan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Insentif Cukai Tanah "Jom Bayar dan Menang 2011" serta "1Hari Daftar Urusniaga Tanah" di sini, Selasa.

Raja Nong Chik berkata kewujudan pelbagai insentif dan promosi bayaran cukai tanah itu juga menyebabkan jumlah pungutan hasil tanah setakat 15 Disember lepas, meningkat kepada RM396 juta berbanding RM221 juta yang disasarkan.

"Melalui insentif 'Jom Bayar dan Menang' yang julung kali diadakan pada tahun ini, pemilik tanah bertuah yang cepat menjelaskan cukai tanah mereka ditawarkan hadiah lumayan seperti motosikal, komputer riba dan televisyen LCD.

"Insentif ini juga akan diteruskan pada tahun depan dengan menawarkan hadiah yang lebih lumayan, antaranya Proton Saga BLM, untuk menggalakkan pemilik tanah membayar cukai mereka pada waktunya," katanya.

Raja Nong Chik berkata mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baru-baru ini juga bersetuju memberikan insentif berupa diskaun premium pemberimilikan tanah (Notis 5A) dalam bentuk pengurangan bayaran premium kepada pemohon yang menjelaskan bayaran premium dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau berkata potongan pertama adalah sebanyak 10 peratus daripada premium bagi bayaran sekaligus dalam tempoh satu bulan dari tarikh notis disampaikan, manakala potongan kedua sebanyak 7.5 peratus bagi bayaran sekaligus dalam tempoh dua bulan dari tarikh yang sama.

"Potongan ketiga pula ialah sebanyak 5 peratus bagi bayaran dalam tempoh tiga bulan dari tarikh notis disampaikan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain