suria

Proton Lancar Festival 1Malaysia Tonjol Pencapaian 25 Tahun

SHAH ALAM: Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd melancarkan Festival Proton 1Malaysia di sebelas destinasi yang akan mempamer serta menonjolkan pencapaiannya selama 25 tahun dalam industri permotoran negara.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata matlamat festival yang berlangsung selama dua minggu itu ialah bagi membuka mata rakyat Malaysia mengenai pencapaian sebenar Proton selepas berpendapat ramai rakyat Malaysia yang kurang faham mengenainya.

"Jadi, kita mengambil kesempatan untuk mempersembahkan sejarah kita dalam 25 tahun pencapaian kita dalam automotif industri negara ini supaya mereka faham dan bila mereka faham mungkin mereka akan ada perasaan kebanggaan atas apa yang telah dicapai Proton sejak 25 tahun yang lepas," katanya kepada pemberita setelah melepaskan 85 peserta konvoi dari Pusat Kecemerlangan Proton di sini, Sabtu.

Konvoi 55 kereta Proton pelbagai jenis dan dua Exora itu akan menjelajah 11 destinasi di seluruh negara iaitu Ipoh, Alor Setar, Kangar, Pulau Pinang, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuantan, Batu Pahat, Melaka dan Seremban sebelum kembali ke Shah Alam pada 31 Dis untuk acara penutup serta sambutan tahun baru.

Syed Zainal Abidin berkata di setiap destinasi, satu karnival akan diadakan yang diisi dengan pameran kereta, pemeriksaan kenderaan percuma serta program rekreasi dan hiburan, termasuk konsert, untuk pengunjung.

"Kita ambil kesempatan dalam aktiviti-aktiviti konvoi ini untuk mengadakan kerja-kerja amal.

"Kita akan menderma alatan sekolah untuk anak-anak yatim di seluruh negeri," katanya. Beliau juga yakin aktiviti itu akan menukar persepsi negatif yang mungkin wujud di kalangan rakyat Malaysia terhadap Proton.

Syed Zainal Abidin berkata di festival itu, selain kereta baru, Proton turut mempamerkan teknologi yang dibangunkannya dalam program melibatkan 180 kakitangan.

Antara kereta yang bakal dipamerkan ialah Satria Neo Super 2000 yang menyertai Cabaran Rali Antara Benua dan Kejohanan Rali Asia Pasifik, Proton Exora elektrik, model konsep hibrid EMAS serta kereta konsep Jebat dan Kasturi.-BERNAMA

Artikel Sebelum

WikiLeaks: DAP Nafi Jadi Dalang

Artikel Berikut

ADUN Tenang Meninggal Dunia

Artikel Lain