suria

Qatar Dipelawa Melabur Di Malaysia Untuk Pembangunan Sukan: Ahmad Shabery

DOHA: Malaysia mempelawa para pelabur dari Qatar datang ke Malaysia untuk melihat sendiri peluang pelaburan yang wujud di negara itu khususnya dalam bidang sukan supaya hasrat menjadikan Malaysia sebagai pusat perkembangan dan pembangunan sukan di rantau Asia akan tercapai.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ketika ini Malaysia mempunyai tempat-tempat dan infrastruktur untuk bersukan yang boleh dikomersialkan.

"Saya mengundang pihak yang berkuasa mengenai sukan di Qatar untuk datang ke Malaysia dan melihat perkembangan ini," katanya kepada Bernama dan RTM selepas mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Jawatankuasa Majlis Olimpik Qatar Saoud Abdul Rahman Al-Thani di sini, pada Selasa.

Beliau berada di Qatar selaku menteri pengiring kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang dalam rangka lawatan negara ke sini selama empat hari berakhir Rabu.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata Malaysia juga tidak menolak kemungkinan untuk meneroka bidang baru iaitu mempunyai jenama peralatan atau pakaian sukan sendiri pada masa akan datang seperti yang dilakukan Qatar.

"Kedua-dua negara sependapat bahawa sudah tiba masanya negara-negara Asia dapat membina jenama peralatan atau pakaian sukan sendiri seperti kita melihat bagaimana negara-negara Asia seperti China mempelopori beberapa jenama baru," katanya.

Pada pertemuan itu, Ahmad Shabery berkata kedua-dua negara turut bersetuju bahawa pembangunan sukan di Malaysia dan Qatar tidak boleh dilihat hanya daripada segi keupayaan menganjurkan acara-acara sukan bertaraf dunia.

"Kita tidak cukup sekadar jadi penganjur tetapi kita juga mesti bersama-sama membantu untuk membina atlet kita dalam pelbagai bidang yang mempunyai kelebihan antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata Sukan Asia 2006 adalah antara acara terbesar yang diadakan di Qatar manakala pada masa akan datang ia akan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Asia serta kejohanan Piala Dunia FIFA 2022.

Malaysia juga dilihat mempunyai persamaan dengan Qatar apabila berpeluang menganjurkan beberapa sukan bertaraf dunia termasuk perlumbaan Formula 1 serta pelayaran, kata Ahmad Shabery. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain