suria

Kastam Mahu Serbu Kedai Runcit Jual Rokok Seludup

PETALING JAYA: Ekoran penjualan rokok seludup yang semakin berleluasa, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kini mengambil inisiatif mempergiatkan usaha dengan menumpukan operasi ke atas kedai-kedai runcit bagi membanteras kegiatan itu.

Penolong Ketua Pengarah JKDM, Datuk Ismail Ibrahim berkata jabatan itu giat mengatur gerakkan anggotanya dengan membuat serbuan ke atas kedai-kedai terbabit secara kerap agar dapat mengekang aktiviti penyeludupan rokok haram di seluruh negara.

"Jika sebelum ini kita banyak menahan kontena atau lori-lori yang disyaki membawa rokok seludup, tetapi kini fokus kita bertumpu kepada outlet-outlet di negara ini.

"Melalui cara ini, kita akan dapat mengesan peruncit yang menjual rokok terlarang dan sekaligus dapat mencari dari sumber mana rokok itu diperolehi," katanya kepada pemberita pada program bersama media di sini, Selasa.

Beliau berkata strategi yang diatur pihak kastam sejak awal tahun ini ternyata memberi kesan yang positif apabila seramai 12 orang peruncit telah dihadapkan ke mahkamah ekoran menjual rokok seludup kepada orang ramai.

"Di seluruh Malaysia terdapat kira-kira 90,000 outlet dan sejak awal Januari lepas sehingga hari ini, JKDM telah membuat serbuan ke atas 8,700 outlet yang mana 12 daripada outlet itu dikesan menyimpan serta menjual rokok seludup.

"Dalam operasi ini, tidak kira walau dalam nilai (rokok seludup) yang kecil sekalipun, apabila ada bukti kita akan hadapkan pesalah ini ke mahkamah dan kita harap dengan cara ini sekurang-kurangnya ia dapat menyedarkan mereka bahawa perbuatan mereka itu adalah salah," katanya.

Selain itu, beliau berkata individu yang disyaki terbabit dalam penyeludupan rokok juga boleh disiasat mengikut Akta Pembersihan (Pengubahan) Wang Haram yang membolehkan harta mereka dirampas atau dibekukan sekiranya terbukti mereka menjalankan kerja penyeludupan.

Ismail berkata sepanjang tempoh Januari sehingga 2 Disember 2010, JKDM telah berjaya merampas rokok seludup bernilai RM 85.7 juta dengan melibatkan cukai tidak berbayar hampir RM304.3 juta.

"Statistik ini menunjukkan peningkatan kerana pada tahun lepas kita hanya dapat merampas rokok seludup bernilai RM70.9 juta dengan membabitkan duti kastam sebanyak RM250.5 juta," kata Ismail. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Sah Presiden Baru Kita

Artikel Berikut

Artikel Lain