suria

Bajet 2011 Dilulus Tanpa Sebarang Drama

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011 (Bajet 2011) berjumlah RM212 bilion tanpa sebarang masalah.

Berbeza dari tahun lepas, Bajet 2011 diluluskan kira-kira 7.25 malam apabila bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Husni Hanadzlah menyaksikan lebih suara menyokong berbanding membantah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut hadir dalam Dewan Rakyat.

Bajet 2010 melalui detik mencemaskan di mana bacaan kali ketiga rang undang-undang itu diluluskan dengan majoriti tiga undi sahaja pada pukul 11.15 malam, 14 Dis 2009.

Berdasarkan undian belah bahagian yang dilakukan, menyaksikan 66 undi, termasuk undian Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyokong daripada anggota Parlimen BN dan 63 undi membantah daripada anggota Parlimen pembangkang.

Najib pada 15 Okt lepas membentangkan Bajet 2011 yang mencadangkan peruntukan RM212 bilion, iaitu 2.8 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan untuk 2010.

Daripada jumlah itu RM162.8 bilion adalah untuk perbelanjaan operasi dan RM49.2 bilion untuk pembelanjaan pembangunan. Terdahulu Kementerian Dalam Negeri teruk 'diasak' beberapa anggota Parlimen yang tidak puas hati dengan jawapan Timbalan Menterinya Datuk Wira Abu Seman Yusop berhubung isu saman ekor.

Jawapan Abu Seman bahawa kerajaan tetap dengan keputusan untuk mengekalkan tindakan saman ekor membangkitkan pelbagai reaksi daripada anggota dewan yang rata-rata menggesa kerajaan memansuhkan tindakan itu kerana ia disifatkan menyusahkan rakyat selain bertentangan dengan slogan 'Rakyat didahulukan'.

Abu Seman turut 'diserang' apabila mengakui tidak mempunyai maklumat berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak mengenai kes Leonard Lim Yaw Chiang lawan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak yang membabitkan isu saman ekor Ogos lepas.

Dalam kes itu, mahkamah memutuskan JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan semata-mata dengan saman ekor.

Berdasarkan kes tersebut, Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dan Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) serta Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) mengasak Abu Seman mengenai isu kesahihan tindakan menyenarai hitam pesalah trafik itu dari segi undang-undang kerana pesalah tidak dipanggil untuk membela diri sebelum tindakan tersebut dikenakan.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pula berkata kerajaan harus berani membuat perubahan atau perlu menerima padah tindakan itu, sementara Datuk Muhamad Aziz (BN-Sri Gading) pula menyifatkan kerajaan boleh membuat perubahan itu sekiranya mahu.

Asakan-asakan itu bagaimanapun disambut dingin Abu Seman yang menjelaskan kebanyakan isu itu telah dijawab sebelum ini, lantas meneruskan penggulungannya bagi menjawab isu-isu lain. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Sah Presiden Baru Kita

Artikel Berikut

Artikel Lain