suria

UPP Kelantan Rampas 150 Kampit Beras Siam Bermutu Tinggi

KOTA BAHRU: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan merampas 150 kampit beras siam bermutu tinggi dianggar bernilai RM30,000 yang dipercayai beras seludup, selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Chenor, Pangkal Meleret Machang, Ahad.

Komander UPP Kelantan Mazlan Che Hamid berkata rampasan itu dibuat pada pukul 3.15 petang selepas pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan longgokan beras siam di rumah berkenaan.

"Setelah membuat pemantauan kami dapati tiada pihak yang mengambil beras itu, lalu kami bawa beras itu ke pejabat di sini untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, Isnin.

Katanya beliau percaya beras itu akan dibawa ke negeri-negeri di sebelah pantai barat semenanjung yang mendapat permintaan tinggi, sebelum ia dibungkus semula dengan jenama beras yang lain.

Mazlan berkata sejak Januari lepas 84 kes rampasan beras siam dibuat oleh pasukan itu yang membabitkan rampasan bernilai lebih RM400,000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain