suria

Jabatan Imigresen Kedah Tahan 74 Pendatang Asing

ALOR SETAR: Jabatan Imigresen Kedah menahan 74 pendatang asing tanpa izin dalam dua operasi di Pendang, Jabi dan Pokok Sena, dekat sini awal pagi Isnin.

Pengarahnya, Muhammad Hatta Kassim berkata tangkapan itu dibuat hasil 'Ops Sapu' dan 'Ops Mahir" selama beberapa jam oleh 23 orang pegawai jabatan itu, yang bermula sejak kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

Beliau berkata dalam serbuan di tiga rumah sewa di sekitar Kampung Air Puteh, Pendang, dan Kampung Tengah Mukim Tualang, Jabi, di bawah Ops Sapu, 36 lelaki warga Myanmar berumur antara 17 dan 60 tahun ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk berada dalam negara.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini beliau berkata, siasatan awal mendapati kebanyakan pekerja asing itu bekerja kampung, termasuk mengambil upah menoreh getah dan bekerja di sawah.

Sementara itu dalam Ops Mahir pula, 38 orang warga asing berumur antara 18 dan 36 tahun ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah dalam serbuan di sebuah kilang memproses makanan di Pokok Sena, dekat sini.

Muhammad Hatta berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 17 lelaki warga Myanmar, 15 lelaki Bangladesh, empat lelaki Nepal dan dua wanita Myanmar.

Beliau berkata, pengurus kilang itu ditahan untuk disoalsiasat di pejabat Imigresen di sini, dan dia boleh didakwa kerana melindungi pendatang asing tanpa izin, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda RM5,000 bagi setiap seorang pendatang yang dilindungi.

Kesemua pendatang asing itu sedang diproses untuk dihantar ke Depot Tahanan di Belantik, Sik, dan mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara tanpa dokumen perjalanan yang sah dan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, serta enam sebatan dengan rotan jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain