suria

Polis Tahan Ibu Berhubung Kematian Bayi Di Pasir puteh

PASIR PUTEH: Polis pada Ahad menahan seorang ibu berumur 31 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kematian bayi perempuannya yang berumur enam bulan dalam satu kejadian di Kampung Gaal Tengah di sini, pada pukul 5 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, DSP Mohd Kamal Zainal berkata wanita itu ditahan selepas bapanya Che Muda Salleh, 60, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh sejam selepas kejadian itu.

"Lelaki itu telah terdengar anaknya itu menjerit dalam bilik tidurnya dan apabila masuk mendapati wanita itu sedang meriba bayinya yang dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Bayi perempuan yang dikenali sebagai Al Miyazara Mohd Azim itu dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Anis di sini," katanya kepada pemberita di sini.

Mohd Kamal berkata polis akan membuat siasatan lanjut bersabit kematian bayi tersebut berdasarkan terdapatnya unsur-unsur jenayah selain keterangan yang meragukan terhadap kematian tersebut.

Katanya sehubungan itu kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

"Polis juga akan turut menyiasat sama ada suspek mengalami tekanan perasaan ketika kejadian itu berlaku," katanya.

Beliau berkata ketika kejadian suami suspek berada di Kota Baharu dan bayi tersebut kini masih berada di hospital berkenaan untuk bedah siasat.

Sementara itu, keluarga suspek yang ditemui di bilik mayat hospital itu enggan menemui pemberita. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Milik AKIM

Artikel Lain