suria

Pegawai Kementerian Perlu Bertindak Sebagai Pemangkin Program Pendidikan HIV/AIDS

KOTA KINABALU: Pegawai kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di peringkat negeri dan daerah digesa memainkan peranan sebagai pemangkin bagi program Intervensi HIV/AIDS.

Timbalan Menterinya, Senator Heng Seai Kie berkata mereka juga perlu, antara lain, bersedia menghulurkan bantuan dalam bentuk nasihat dan teknikal.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Seminar Pendidikan Mengenai HIV/AIDS di Kalangan Remaja anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Sabtu.

Katanya, wabak itu yang merebak di kalangan generasi muda kini berada di tahap membimbangkan dengan sejumlah 40 peratus penghidap HIV pada 2009 berusia di bawah 29 tahun.

"Terdapat 87,710 kes HIV pada 2009, dengan kematian akibat AIDS berjumlah 12,039. Secara purata, terdapat lapan kes HIV dan tiga kes AIDS setiap hari dengan tiga kematian akibat AIDS. Kesemua ini disebabkan gaya hidup liar dan perbuatan berkongsi menggunakan jarum dalam kes penyalahgunaan dadah," katanya kepada 200 peserta seminar terdiri daripada pelajar tahun dua serta tahun akhir kolej kejururawatan awam dan swasta di sini.

Heng berkata kajian oleh LPPKN pada 2004 menunjukkan bahawa kurang separuh daripada mereka yang berusia antara 13 dan 24 tahun mempunyai pengetahuan berhubung perancang keluarga, manakala dua pertiga atau 64 peratus lagi jahil mengenai penyakit seksual selain HIV/AIDS.

"Dalam kajian yang sama, didapati 2.2 peratus telahpun menjalinkan hubungan seksual berbanding satu peratus pada 1994," katanya.

Heng juga berkata kejahilan tersebut akan menyebabkan golongan berkenaan mudah dipengaruhi, oleh itu, mereka perlu diberi pendidikan mengenai isu seksualiti dan kesihatan reproduktif.

Beliau berkata LPPKN telah melancarkan satu pelan bertindak April lepas bagi mempromosi pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial. Agensi itu juga menubuhkan satu portal interaktif iaitu KAFE. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain