suria

Muhyiddin Deklamasikan Sajak Bagi Sampaikan Mesej Rasuah

KUALA LUMPUR: Isu yang dibangkitkan tetap serius, namun caranya sedikit berbeza apabila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini memilih untuk bersajak bagi menyampaikan mesej anti-rasuah.

Bersemangat mendeklamasikan sajak berjudul 'Nilai Suapan', Muhyiddin menjentik sikap segelintir golongan yang mengejar harta duniawi melalui rasuah tanpa memikirkan kesan negatifnya kepada negara.

Sajak nukilan Muhamad Zainal Zakaria dari Universiti Kebangsaan Malaysia, dibaca pada Malam Sentuhan Perasaan Rohani Manusia anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Dewan Filharmonik Petronas di sini.

Turut hadir menyaksikan persembahan Orkestra Dewan Filharmonik Petronas pada majlis tersebut ialah isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali.

Majlis selama sejam 30 minit itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh artis tempatan seperti Datuk Khatijah Ibrahim, M.Nasir, Ramli Sarip, Aishah dan Kumpulan Rabbani.

Turut dipersembahkan ialah beberapa siri muzikal penceritaan bermonolog, termasuk tentang kelahiran manusia, keluarga yang membesarkan anak dan si anak melakukan kesalahan serta dosa rasuah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain