suria

Wanita Mati Dibunuh, Polis Tahan Pembantu Rumah

PASIR MAS: Polis menahan seorang pembantu rumah warga Indonesia berumur 21 tahun bagi membantu siasatan dalam kejadian bunuh seorang wanita di Kampung Lubuk Tapah di sini petang Selasa.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner II Mazlan Lazim berkata, mayat Yeap Seok Pen, 60, ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah oleh anak lelaki wanita pada kira-kira pukul 2 petang.

Katanya, mayat Yeap ditemui dalam keadaan berlumuran darah di bahagian muka, dipercayai dibunuh antara pukul 12 tengah hari hingga 1 petang ini, dan polis kemudiannya menahan pembantu rumah wanita itu, seorang rakyat Indonesia berumur 21 tahun beberapa jam kemudian.

"Ketika kejadian Yeap hanya tinggal berdua dengan pembantu rumahnya itu dan sebelum kejadian jiran Yeap ada terdengar suara orang bergaduh," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mayat Yeap ditemui oleh anaknya dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumah, dan polis yang melancar gerakan memburu suspek menemui pembantu rumah itu sedang berjalan kaki di Simpang Empat, Jalan Tok Uban di sini pada pukul 5.15 petang.

Mazlan berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati.

Mayat warga emas itu kemudiannya dihantar ke Hospital Lati di sini untuk dibedah siasat.

Sepupu Yeap, Lew Beng Lai, 76, berkata wanita itu merupakan seorang pesara jururawat pergigian, dan tinggal di rumah tersebut bersama tiga anaknya dan seorang menantu.

"Anak dan menantu dia bekerja di sebuah kedai jam di bandar Pasir Mas dan dia ada masalah kesihatan, dan setiap tengah hari anaknya akan bergilir balik untuk melihat Yeap yang menggunakan kerusi roda," katanya.

Seorang saksi, Che Noh Harun, 55, berkata dia melihat suspek berjalan kaki menghala keluar dari kampung itu dengan membawa beg galas dalam keadaan tergesa-gesa kira-kira pada pukul 12.30 tengah hari.

Katanya dia hanya mengetahui mengenai kejadian bunuh itu kira-kira tiga jam kemudian, selepas melihat ramai orang mengerumuni rumah Yeap. - BERNAMA

Artikel Lain