suria

Kapal Tenggelam Di Pengerang Ketika Pindah Minyak Cara Haram

JOHOR BAHRU: Sebuah kapal tangki yang berdaftar di Singapura, MT Po Lai, tenggelam di perairan Pengerang, Kota Tinggi, pagi Isnin ketika cuba melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram.

Menurut Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar, berkata Pusat Operasi APMM menerima laporan bahawa kapal itu tenggelam di kedudukan 3.6 batu nautika selatan Tanjung Ayam, Pengerang, pada 7.30 pagi Isnin.

Anggota APMM yang dikerah ke lokasi kejadian mendapati sebahagian badan kapal terbabit masih kelihatan di permukaan, katanya.

Menurut Zulkifli, kapal yang mempunyai lima anak kapal dipercayai menghadapi masalah menstabilkan kedudukannya ketika sedang melakukan pemindahan minyak dengan sebuah kapal "Kam Fong".

"Kesemua anak kapal sempat menyelamatkan diri dengan melompat ke kapal Kam Fong, katanya.

Beliau berkata APMM sedang bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar Johor bagi memantau kemungkinan berlakunya tumpahan minyak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zeti Tokoh Ma'al Hijrah 1432

Artikel Berikut

Artikel Lain