suria

Cubaan Tolak RM10 Daripada Gaji Menteri KPKK Gagal

KUALA LUMPUR: Cubaan pembangkang untuk memotong gaji Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Seri Dr Rais Yatim sebanyak RM10 gagal apabila usul itu ditolak kebanyakan anggota Dewan Rakyat, yang menyifatkan tindakan itu sebagai taktik mereka mempertikaikan kewibawaan menteri kabinet.

Usul itu, yang dikemukakan Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), ditolak setelah ramai yang tidak bersetuju berdasarkan undian suara.

Sebelum itu, Mahfuz mendakwa terdapat kelemahan dalam agensi di bawah KPKK, khususnya Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai media rasmi kerana tidak memberi liputan dan laporan tepat mengenai pembangkang, termasuk laporan berita semasa bencana banjir di Kedah serta persidangan Dewan Rakyat.

Beliau membangkitkan laporan berita yang disiarkan RTM mengenai titah Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Majlis Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Penggal Ketiga Mesyuarat Bajet 2011 di Wisma Darul Aman.

Bagaimanapun, Mahfuz dan beberapa anggota Parlimen pembangkang ditegur oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana terlalu kerap mencelah ketika penggulungan oleh Rais.

Ketika menggulung perbahasan usul itu, Rais berkata RTM menyiarkan laporan yang mempunyai nilai berita, malahan pembangkang turut mendapat liputan dalam pelbagai bidang di stesen televisyen rasmi kerajaan itu.

"Pokok Sena tak kurang 23 kali telah disiarkan di RTM dalam menyoalkan isu-isu dalam pelbagai bidang yang ditimbulkan di Dewan Rakyat, dan Jelutong (Jeff Ooi) juga sebanyak 18 kali, jadi kalau begitu, apa sebenarnya yang dirasakan tidak patut, mungkin YB memerlukan pandangan itu dilaporkan seperti Menteri Perdagangan (Antarabangsa dan Industri) dan Menteri Pengajian Tinggi," katanya.

Mengenai liputan peristiwa banjir di Kedah, Rais berkata beliau tidak mendapat sebarang maklumat mengenai kemurkaaan Sultan Kedah ekoran laporan berita RTM.

Pada 14 Nov lepas, Bernama melaporkan Sultan Kedah melahirkan rasa dukacita terhadap pihak yang tidak menghargai sumbangan serta pengorbanan kerajaan negeri serta semua yang terlibat membantu mangsa banjir di Kedah.

Sementara itu, timbalannya Datuk Joseph Salang ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011 di peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu berkata kerajaan sedang mengkaji untuk mewujudkan satu skim pulangan semula duti hiburan bagi memastikan industri kreatif tanah air terus berkembang.

Beliau berkata kementerian sedang mencari kaedah terbaik bagi membantu meringankan beban penggiat industri kreatif serta menjana pendapatan mereka.

"Duti hiburan diselenggara buat masa ini dengan kutipan diberikan kepada kerajaan negeri, dan setelah itu, kerajaan negeri memulangkan kepada kita (kementerian melalui Finas) dan kita akan atur pengagihan duti hiburan yang dikutip itu.

"Tetapi pada masa ini, terdapat kekangan tentang bagaimana untuk memulangkan wang itu," katanya.

Persidangan Dewan Rakyat disambung esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain