suria

Jangan Ada Pemikiran Untuk Ubah Perlembagaan - Dr Chua Soi Lek

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengingatkan rakyat supaya jangan mempunyai pemikiran untuk mengubah apa yang tertera dalam perlembagaan kerana ia hanya boleh diubah oleh Yang di-Pertuan Agong.

Katanya ramai orang mempunyai salah faham mengenai maksud sebenar konsep 1Malaysia seperti diilhamkan oleh Perdana Menteri.

"Maksud 1Malaysia ialah kerajaan akan melayan semua rakyat dengan adil dan saksama mengikut apa yang disediakan dalam perlembagaan...anda tidak boleh terpesong dari perlembagaan," katanya ketika bertemu dengan peminat 'Facebook'nya di Kelab Golf Tropicana dan Resort di sini, malam Isnin.

Di bawah perlembagaan, katanya, semua rakyat Malaysia mempunyai hak kepada pendidikan, kebebasan beragama dan kebudayaan.

"Walaupun orang Cina adalah warganegara, di Malaysia mereka bukan diasimilasi seperti mereka di Indonesia, Thailand dan Filipina.

"Anda mengekalkan nama Cina anda, anda mungkin warganegara tetapi anda tidak diasimilasikan. Anda ada apa yang kita panggil integrasi dan bukan asimilasi," katanya.

Oleh itu, katanya bagi mencapai parti bukan berasaskan perkauman atau negara, ia mungkin mengambil masa daripada dijangkakan.

"Saya ingin katakan tidak ada parti tunggal dalam negara yang bukan perkauman.

"Jadi perkauman akan wujud untuk satu ketika tetapi kita berharap sebagai negara yang menuju era kemajuan dan rakyat Malaysia menjadi lebih berpendidikan dan yakin dalam kehidupan harian dan interaksi perkauman, kita boleh mencapai merealisasikan sepenuhnya konsep 1Malaysia," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain