suria

Kongres Nasional: Tubuhkan Bank Data Calon – Perwakilan Melaka

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) disaran supaya menubuhkan bank data untuk mengenal pasti calon yang sesuai bagi mewakili parti itu dalam pilihan raya.

Wakil Melaka, Mahani Maspan berkata, pangkalan data itu perlu segera ditubuhkan bagi memastikan calon yang dipilih mempunyai latar belakang dan rekod yang baik serta sentiasa berkhidmat untuk parti.

“Bank data calon perlu segera ditubuhkan supaya kita dapat mengenal pasti calon yang sesuai untuk kawasan Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri.

“Pangkalan data ini akan mengenal pasti latar belakang dan akhlak individu tersebut sebelum mereka diangkat menjadi calon parti pada pilihan raya.

"Kita mahu calon yang dipilih punya rekod bekerja untuk parti, jadi hamba untuk parti dan rakyat, ” katanya ketika membahaskan usul pembudayaan demokrasi pada Kongres Nasional Tahunan ketujuh PKR di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini, Ahad.

Menurutnya, jika ada calon-calon baru yang berbakat di luar PKR mereka perlu disegera dibawa masuk dan diuji terlebih dahulu untuk dipastikan kesuaiannya sebelum mereka layak mewakili parti.

“Pilihan raya umum ke-13 adalah medan penting dan peluang terbaik untuk kita memerintah negara. Kita punya peluang yang baik untuk ambil alih Putrajaya sekiranya kita berjaya menampilkan calon yang berkredibiliti tinggi.

“Berdasarkan kajian yang dijalankan, kita dapati lebih 60 peratus pengundi di Selangor memilih calon dan bukannya parti yang diwakili,” katanya.

Kata Mahani, perkara itu perlu segera dilaksanakan bagi mengelakkan kesilapan memilih wakil rakyat yang mengkhianati PKR dengan keluar meninggalkan parti selepas mereka menang dalam pilihan raya.

“Berdasarkan pengalaman ramai wakil rakyat kita mengkhianati perjuangan parti dengan keluar parti. Janganlah nanti tiba-tiba kita lihat orang yang mengkhianati parti ini satu hari nanti duduk di kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Oleh itu, pemilihan calon yang sesuai sangat penting, supaya kita dapat menampilkan calon-calon yang mempunyai kredibiliti tinggi untuk mengatasi lawan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya PKR mengumumkan calon parti itu lebih awal daripada parti lawan supaya mereka dapat membuat persediaan awal serta dapat mengatasi kelemahan mereka segera.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain