suria

Demam Denggi Catat Tiga Kematian Minggu Ini

GEORGE TOWN: Tiga lagi kematian akibat demam denggi dilaporkan minggu ini menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia meningkat kepada 128 orang sejak Januari lepas. Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata satu kematian dilaporkan di Sarawak Sabtu, manakala dua kematian dilaporkan masing-masing di Pulau Pinang dan Johor pada Isnin lepas.

"Jumlah ini menyaksikan peningkatan kematian kepada 50 kes berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu sebanyak hanya 78 kematian yang direkodkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus Basic Life Saving Training anjuran bersama Puteri Umno Bahagian Bukit Gelugor dan Murni Nursing Academy di sini, Ahad.

Beliau berkata sehingga semalam sebanyak 43,477 kes demam denggi dilaporkan berbanding 37,205 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Sehingga semalam, Selangor mencatatkan jumlah kes demam denggi tertinggi tahun ini berbanding negeri lain iaitu 15,520 kes dengan 43 kematian.

Sementara itu, Rosnah berkata sebanyak lapan kes Influenza A (H1N1) dicatatkan sejak minggu lepas dan tiada kematian direkodkan.

Beliau juga menjelaskan bahawa kematian seorang wartawan yang dalam perjalanan pulang bertugas dari luar negara baru-baru ini adalah akibat sakit jantung dan bukan dijangkiti H1N1. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain