Polis Tunggu Keputusan Peguam Negara Berhubung Kes Jual Bayi Di Sarawak - Semasa | mStar

Polis Tunggu Keputusan Peguam Negara Berhubung Kes Jual Bayi Di Sarawak

KUCHING: Polis masih menunggu arahan dari Pejabat Peguam Negara mengenai tindakan selanjutnya berhubung kes penjualan bayi di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohmad Salleh berkata polis masih menjalankan siasatan kes penjualan bayi yang melibatkan seorang ahli peniagaan yang bergelar "Datuk" di sini,Julai lalu.

"Polis masih menunggu keputusan lanjut sama ada pertuduhan akan dibuat atau tidak. Ini bergantung kepada nasihat daripada pejabat Peguam Negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Polis dan Masyarakat Bersama Mencegah Jenayah di Kota Samarahan, dekat sini, Sabtu.

Pada Julai lalu, polis Sarawak menahan 17 suspek termasuk ahli perniagaan bergelar "Datuk" dan isterinya untuk membantu siasatan kes mengikut Akta Antipemerdagangan Orang 2007.

Kesemua individu ini telah dibebaskan dengan jaminan polis secara berperingkat.

Sehingga hari ini, kesemua mereka juga tidak didakwa. Polis menemui lapan kanak-kanak berumur sebulan hingga 12 tahun di lokasi berlainan di bandar raya ini sejak penahanan seorang wanita Indonesia berumur 32 tahun selepas wanita itu didakwa cuba menjual seorang bayi perempuan dengan bayaran RM10,000 kepada anggota polis yang menyamar.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siastan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin tidak menolak kemungkinan sindiket penjualan bayi oleh hospital swasta di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur ada kaitan dengan sindiket penjualan bayi di Sarawak.

Mohd Bakri berkata siasatan awal mendapati dokumen kelahiran bayi di hospital swasta itu dikeluarkan sindiket menjual bayi yang pernah dibongkar di Sarawak.

Mengenai persiapan pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan pada bila-bila masa, Mohmad berkata polis Sarawak bersiap sedia membuat perancangan termasuk mendapatkan anggota tambahan dan logistik untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar.

"Kita memerlukan bantuan dan sokongan dari kontinjen jiran khususnya dari Sabah dan Bukit Aman. Kita akan memuktamadkan semua ini dan dimajukan kepada pihak atasan apabila tarikh pilihan raya negeri diumumkan," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain