suria

Petronas Bantu Majukan Pengerang/Teluk Ramunia Jadi Hab Minyak Dan Gas Serantau

JOHOR BAHRU: Petronas akan menerajui usaha-usaha pembangunan Pengerang dan Teluk Ramunia, di Tenggara Johor, menjadi hab minyak dan gas serantau.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata walaupun Petronas dan rakan kongsinya telah melabur dalam hab berkenaan, kerajaan akan menyediakan kemudahan infrastruktur yang sewajarnya.

"Ia akan merupakan pelaburan Petronas dengan rakan kongsi antarabangsa, kerajaan boleh melihat kepada sokongan infrastruktur tetapi pelaburan sebenarnya akan ditanggung oleh Petronas dan rakan kongsinya.

"Ia (Pengerang dan Teluk Ramunia sebagai hab minyak dan gas) akan menjadi pembangunan utama, memberi khidmat ke seluruh rantau Asia Pasifik," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Asiaflex Products Sdn Bhd di Tanjung Langsat, dekat Pasir Gudang, di sini Khamis.

Kilang berharga 150 juta euro itu, milik Technip, yang berpangkalan di Perancis, direkabentuk untuk membina paip fleksibel berteknologi tinggi dan umbilikal yang digunakan oleh lapangan minyak dan gas laut dalam di Asia Pasifik serta Timur Tengah.

Perdana Menteri berkata keputusan Technip menempatkan kilangnya di Malaysia membuktikan negara diiktiraf sebagai hab untuk minyak dan gas laut dalam di rantau Asia Pasifik.

"Kami telah dianggap sebagai hab," kata beliau dan menambah bahawa dengan pelaksanaan Bidang Ekonomi Utama Negara bagi minyak dan gas, Malaysia akan menjadi hab utama untuk industri itu.

Kilang seluas 20 hektar akan merupakan satu-satunya kilang yang mengeluarkan paip fleksibel dan umbilikal di Asia Pasifik, memenuhi pesanan dari China dan syarikat-syarikat minyak dan gas utama lain seperti ConocoPhilips.

Najib berkata Technip kagum dengan kualiti tenaga kerja tempatan yang setanding dengan yang terbaik di dunia.

"Prestasi pekerja kita mengagumkan Technip," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Shamsul Azhar Abbas, yang hadir sama pada sidang media berkenaan berkata pembangunan Pengerang dan Teluk Ramunia sebagai hab minyak dan gas serantau berkembang dengan baik.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Technip Thierry Pilenko dan Presiden Technip Malaysia Bernard Di Tullio.

Mengenai krisis perbankan Ireland dan kemungkinan mempengaruhi ekonomi Malaysia, Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata krisis itu boleh memberi kesan seluruh dunia dan bukan hanya di Malaysia.

Tetapi, beliau berkata situasi di Ireland pada masa ini terkawal.

Beliau berkata pemulihan Amerika Syarikat yang kukuh akan membantu Malaysia kerana banyak kilang dan syarikat multinasional di negara ini bersedia untuk mengeksport produk mereka ke Amerika Syarikat. "Jadi, jika permintaan luar besar dan kita merupakan negara dagangan utama (dengan AS), ia tentunya membantu beberapa mata peratusan dari segi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar," kata Perdana Menteri. - BERNAMA

Artikel Lain