suria

Majlis Peguam Minta Polis Segerakan Siasatan Kes Bunuh Balasundram

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam Malaysia meminta polis menyegerakan siasatan kes bunuh anggotanya, G.Balasundram di Ipoh pada Selasa lepas.

Naib presidennya, Lim Chee Wee berkata Majlis Peguam bimbang sekiranya serangan ganas terhadap Balasundram, dan satu lagi insiden pada empat tahun lepas, mempunyai kaitan dengan profesion beliau.

"Kami berasa bimbang, khususnya terhadap keselamatan peguam, yang mungkin berisiko berikutan tanggungjawab profesional mereka sebagai peguamcara dan peguambela," katanya dalam satu kenyataan Khamis.

Beliau berkata ancaman terhadap kebajikan peguam mungkin menjejaskan kebebasan dan keupayaan mereka dalam menjalankan tanggungjawab tanpa rasa takut.

Sehubungan itu, Lim menggesa polis menyelesaikan kes itu secepat mungkin.

Lim berkata Majlis Peguam berasa terkejut dan sedih dengan kematian mengejut Balasundram, yang merupakan seorang anggota aktif serta telah membuat sumbangan bermakna menerusi pembabitannya dalam pelbagai perkara litigasi yang berkepentingan awam.

"Kematian beliau merupakan satu kehilangan kepada Majlis Peguam dan masyarakat," katanya.

Beliau berkata Majlis Peguam turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan Balasundram di atas kematian mendiang.

Balasundram, 57, yang baru pulang dari tempat kerja pada 5 petang Selasa lepas, ditetak berkali-kali oleh dua lelaki bertopeng di luar rumahnya, di Taman Desa Rishah, Buntong, Ipoh, Perak.

Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, meninggal dunia pada 9 malam hari yang sama. - BERNAMA

Artikel Lain