suria

Sekeluarga Sambut Raya Sehelai Sepinggang Selepas Rumah Terbakar

KUANTAN: Sebuah keluarga di Kampung Cendering, dekat sini terpaksa menyambut Hari Raya Aidiladha esok dalam keadaan sehelai sepinggang selepas rumah papan yang didiami mereka musnah dalam satu kebakaran petang Selasa.

Pemilik rumah itu Ibrahim Mahmud, 65, berkata beliau menetap di rumah berkenaan bersama isteri, empat orang anak serta abang iparnya, dan menurutnya kebakaran itu mungkin berpunca daripada televisyen yang terbakar.

"Anak saya sempat melihat televisyen yang baru kami beli sebulan lepas itu terbakar sebelum dia berlari keluar untuk meminta bantuan," katanya kepada pemberita.

Katanya ketika kejadian dia bersama isterinya pergi ke pasaraya untuk membeli barang-barang keperluan, manakala kebanyakan jiran yang berhampiran dengan kuarters guru Sekolah Kebangsaan Pandan itu tiada di rumah.

Ibrahim seterusnya mengucapkan terima kasih kepada pihak Sekolah Kebangsaan Pandan yang membenarkan mereka sekeluarga menggunakan kuarters guru sekolah berkenaan untuk sementara waktu.

Sementara itu Pegawai Operasi Balai Bomba Taman Tas, Mazlan Arifin berkata dua jentera dengan enam anggota bomba bergegas ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.45 petang.

"Sampai di tempat kejadian rumah papan itu sedang terbakar dan kami cuba untuk memadamkannya, namun tidak berjaya," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Katanya punca kejadian dan jumlah kerugian sedang disiasat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain