suria

Bicara OC Phang Ditangguh

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen Klang yang bersidang di sini pada Selasa, menangguhkan perbicaraan tiga kes pertuduhan pecah amanah bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Phang Oi Choo sehingga tamat kes bekas Menteri Pengangkutan, Tun Ling Liong Sik.

Hakim Asmadi Hussain membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan tidak membantah permohonan penangguhan yang diminta oleh peguam yang mewakili Phang, Francis N Aik Guan.

Pihak pendakwaan yang diketuai oleh Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad memberitahu, perbicaraan terhadap Phang boleh memprejudiskan kes terhadap Ling, yang didakwa atas pertuduhan menipu kerajaan.

"Penangguhan hanya melibatkan perbicaraan sahaja dan bukan rayuan, sekiranya ada berdasarkan keputusan kes itu nanti," tambah Dzulkifli.

Beliau juga memberitahu, berdasarkan kepada kronologi kejadian, kes terhadap Ling yang melibatkan pembelian tanah bagi projek 'Mega Distribution Hub' di Pelabuhan Klang, dekat sini berlaku sebelum kes ke atas Phang.

Permohonan untuk menangguhkan perbicaraan dikemukakan oleh Francis pada 26 Oktober lalu, dan semasa itu Asmadi menetapkan Isnin untuk mendengar hujahan bagi permohonan tersebut.

Francis mengatakan penangguhan itu perlu kerana terdapat banyak pertindihan khasnya berkaitan latar belakang dan skop kelulusan yang dikatakan dipersetujui oleh Jemaah Kabinet tentang pembelian tanah tersebut.

Beliau yang turut membayangkan kemungkinan Ling dipanggil sebagai saksi dalam kes itu juga menambah, pihaknya turut berhasrat mendapatkan beberapa dokumen yang perlu dikelaskan semula untuk dibenarkan penggunaannya tanpa melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972.

Pada 29 Julai lalu, Ling yang menjawat jawatan tersebut selama 14 tahun sejak Januari 1986 hingga Mei 2000 didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia berhubung pembelian tanah tersebut.

Phang didakwa sebagai pengurus besar yang diamanahkan bagi dana dalam sebuah akaun di RHB Bank Berhad, melakukan pecah amanah membabitkan RM98,700,000 di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, di sini, antara 1 Oktober 2004 dan 5 September 2005.

Dia menghadapi dua lagi tuduhan yang sama masing-masing membabitkan jumlah RM21,600,000 dan RM134,550,000, yang dilakukan di tempat yang sama antara 30 Sept 2005 dan 9 Mei 2006 dan antara 1 Jun 2005 dan 13 Januari 2006.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di mahkamah untuk kali pertama pada 11 Disember 2009.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain