suria

Lee Tekankan Perlunya Kesedaran Mengenai Isu Kesihatan Mental Ditingkatkan

KUALA LUMPUR: Kesedaran yang tinggi mengenai usaha mengikis stigma berhubung kesihatan mental perlu ditingkatkan melalui pendidikan dan penyertaan awam bagi memberi pemahaman yang lebih baik mengenai isu kesihatan mental.

Anggota Majlis Penasihat Galakan Kesihatan Mental Tan Sri Lee Lam Thye berkata proses (mengikis stigma penyakit mental) itu perlu membabitkan individu, keluarga, orang ramai dan di kalangan ahli profesional jagaan kesihatan.

"Mengikis stigma penyakit mental merupakan cabaran utama yang kita hadapi dalam bidang ini kerana stigma itu merupakan satu isu dalam masalah kesihatan mental.

"Usaha melahirkan kesedaran yang tinggi mengenai kesihatan mental, membolehkan pesakit dan ahli keluarga untuk berdepan dengan stigma dan diskriminasi, yang merupakan strategi yang boleh kita ambil bagi mengikis stigma kesihatan mental," katanya dalam satu kenyataan, Ahad.

Lee berkata antara usaha yang boleh dilakukan oleh golongan profesional dalam bidang jagaan kesihatan bagi mengikis stigma itu ialah dengan menunjukkan contoh yang baik melalui cara merawat pesakit dengan penuh hormat dan bermaruah dan berkongsi pengetahuan dengan anggota keluarga pesakit dan juga bekerjasama secara aktif dengan badan bukan kerajaan dan kerajaan untuk menggalakkan perkara itu.

"Kesihatan mental tidak boleh diketepikan di dalam masyarakat dan sebaliknya ia perlu diberikan perhatian yang serius sesuai dengan masalah kesihatan yang lain," katanya.

Katanya keputusan Kementerian Kesihatan untuk menubuhkan Majlis Penasihat Galakan Kesihatan Mental merupakan usaha yang tepat berikutan masalah isu mental semakin meningkat di dalam masyarakat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Keluar PKR

Artikel Lain