suria

Program Literasi Maklumat Untuk Petugas Pusat Sumber Sekolah Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Perpustakaan Negara bakal mengadakan program literasi maklumat untuk melatih petugas pusat sumber sekolah di seluruh negara supaya lebih kompeten mengajar para pelajar mengendalikan Internet pada tahun depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Raslin Abu Bakar berkata, program tersebut yang bermodulkan TOT atau "Training of Trainers" adalah kerjasama antara perpustakaan berkenaan dan pihak sekolah.

"Kita akan melatih petugas-petugas pusat sumber sekolah ini tentang bagaimana nak mengajar pelajar-pelajar mengesan maklumat dengan teknologi maklumat yang baru dan bernilai.

"Sebab kalau kita google maklumat ke Internet, kita boleh dapat berjuta-juta maklumat di situ tetapi adakah maklumat tersebut sesuai dengan keperluan mereka?" katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau ditemui selepas ceramah bertajuk, "US And International Networking: Opportunities for Malaysian Libraries" oleh John Hickok, Pustakawan dari California State Library.

Turut menyampaikan ceramah ialah Pengarah Lincoln Resource Centre, Gerard George.

Menurut Raslin, pihaknya akan mengeluarkan modul latihan tersebut dan para petugas pusat sumber bakal menjalani latihan dalam bengkel selama seminggu.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, pusat sumber sekolah di desa sewajarnya memanfaatkan kemudahan internet untuk menghasilkan rangkaian maklumat dengan pusat sumber awam atau komuniti dari seluruh dunia.

Jelas beliau, ini penting supaya para pelajar boleh mencapai maklumat penting yang diperlukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Artikel Sebelum

Artikel Lain