Rakyat Kembali Percaya Kepada BN - Ku Li - Semasa | mStar

Rakyat Kembali Percaya Kepada BN - Ku Li

GUA MUSANG: Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Galas Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan kemenangan besar Barisan nasional (BN) dalam pilihan raya itu menunjukkan isyarat jelas rakyat mahukan perubahan dan pembangunan.

Beliau berkata ramai golongan muda menunjukkan sokongan yang baik dalam PRK kali ini menampakkan mereka sebenarnya telah lama menantikan, tetapi tidak kunjung tiba di Galas mahupun di Kelantan sedangkan ia amat penting untuk memberikan mereka peluang pekerjaan.

"Kita akan pastikan calon kita mencari peluang untuk berjumpa dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, membawa harapan rakyat DUN Galas terutama golongan masyarakat Orang Asli yang telah lama tertinggal dari arus pemodenan walaupun negara kita telah 53 tahun merdeka," katanya kepada pemberita pada sidang media di rumahnya di Bukit Cekati di sini malam tadi.

Beliau meminta semua pihak yang tidak menyokong BN supaya turut sama membantu melakukan pembangunan di Galas kerana ia adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan kepada parti BN.

Katanya kejayaan besar mencapai majoriti undi sehingga 1,190 adalah hasil kerja satu pasukan dan pendekatan bertemu mata dengan pengundi dalam kempen pilihan raya kali ini menjadi antara penyumbang kejayaan tersebut serta mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam PRK Galas. "Saya harap pendekatan ini akan diterima alam pilihan raya umum akan datang kerana ia bukan sahaja dapat dilaksanakan dalam suasana yang baik, ia juga tidak menyusahkan rakyat kerana mereka tidak meninggal tempat masing-masing sebaliknya kita pergi kepada mereka," katanya.

Selain itu beliau turut mencadangkan supaya jentera semua parti supaya tidak lagi menggunakan cara tradisi kempen yang diamalkan sejak merdeka, sebaliknya menggunakan saluran media seperti elektronik, cetak dan media alternatif yang kini lebih di gemari oleh rakyat di negara ini.

Pada pilihan raya kecil itu Abdul Aziz menang dengan majoriti 1,190 undi setelah memperolehi 5,324 undi menewaskan calon Pas, Dr Zulkefli Mohamad yang mendapat 4,134 undi.

Pengerusi Badan Perhubungan BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menganggap kemenangan besar BN di kawasan DUN Galas sebagai sesuatu di luar jangkaan yang memberikan petanda kebangkitan BN di Kelantan.

"Kemenangan ini sesuatu yang di luar jangkaan kerana pada awalnya kita jangkakan peluang 50-50 atau menang tipis, tetapi peningkatan jumlah undi ini sesuatu yang di luar jangkaan. Ini petanda yang baik, bermakna rakyat telah terima transformasi yang dibuat kerajaan BN dan menolak strategi pembangkang yang menabur fitnah, bongkak dan kasar," katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Sivik Gua Musang di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pendekatan kempen sederhana yang diterajui Tengku Razaleigh mendatangkan hasil yang membanggakan dan boleh dipraktikkan di peringkat nasional.

Katanya beliau yakin calon BN, Abdul Aziz Yusoff mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan bagi menyelesaikan masalah dihadapi rakyat di DUN itu.

Ditanya mengenai sama ada kemenangan itu akan menjadi titik kejatuhan Pas di Kelantan, Mustapa berkata: "Saya tidak mahu tamak dan takbur, kita diajar bersederhana, tetapi ia akan memberi keyakinan dan semangat kepada BN Kelantan".

Naib Presiden MCA Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata pengundi Cina telah membuktikan sokongan mereka di Galas bahawa mereka mahukan kemajuan yang hanya mampu dilakukan oleh BN dan menerima konsep perpaduan 1Malaysia.

"Masyarakat Cina sudah jemu dengan janji kosong kerajaan Pas Kelantan yang gagal memberi kemajuan kepada mereka. Saya juga ucap terima kasih kepada jentera MCA yang pro-aktif sepanjang kempen PRK Galas," katanya yang juga Menteri Pelancongan.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata kemenangan besar B Nmenunjukkan rakyat sudah hilang kepercayaan kepada pembangkang yang kini banyak dibelenggu masalah dalaman parti sehingga menyebabkan mereka bergaduh sesama sendiri.

"Ini menjadikan mereka lebih sibuk untuk mendapatkan kedudukan di dalam parti daripada memberikan perhatian kepada masalah rakyat," katanya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kemenangan BN akan menyuntik semangat baru kepada jentera wanita Umno di seluruh negara.

"Komitmen dan kerja keras wanita Umno turut menyumbang BN menang besar di Galas dan Batu Sapi," katanya.

Pengerusi Parti Progresif Rakyat (PPP) Kelantan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof berkata kemenangan BN itu menandakan rakyat Kelantan menerima kepimpinan dan dasar yang dilaksanakan Perdana Menteri.

"Kejayaan ini juga dicapai melalui rangkaian kerja yang menepati kehendak rakyat di Galas diterajui Tengku Razaleigh," katanya.

Pengerusi Veteran Umno Kelantan, Datuk Rozali Isohak berkata kemenangan besar BN kali ini membuktikan gandingan mantap antara Tengku Razaleigh dan Mustapa yang terbukti sebagai tokoh berjasa dalam membangun dan memajukan rakyat Kelantan.

"Saya harapkan wakil BN di Galas dapat bekerja kuat untuk memastikan kemenangan dikekalkan dalam pilihan raya umum akan datang," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

Artikel Lain