suria

Pusat Mengundi Di Galas Dan Batu Sapi Ditutup Pukul 5 Petang

GUA MUSANG: Proses pengundian dalam dua pilihan raya kecil hari ini, satu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas dan satu lagi bagi kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah, selesai pada 5 petang tadi.

Empat pusat pengundian di Galas iaitu Pos Hau, Pos Belatim, Pos Balar dan Pos Bihai, ditutup pada 1 petang tadi disebabkan ianya terletak jauh di pedalaman.

Suruhanajaya Pilihan Raya menggunakan helikopter untuk membawa peti undi dari empat kawasan itu ke Dewan Sivik Gua Musang untuk tujuan penjumlahan undi.

Sembilan lagi pusat pengundian ditutup pada 5 petang.

Di Sandakan, 10 pusat pengundian ditutup pada 5 petang manakala sebuah ditutup pada 3 petang dan sebuah lagi pada 4 petang.

Kerusi Galas menjadi rebutan antara calon Barisan Nasional Abdul Aziz Yusoff dan calon PAS Dr Zulkefli Mohamed.

Ia kosong berikutan kematian penyandangnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, pada 27 Sept lepas akibat barah usus.

Batu Sapi pula menyaksikan pertandingan antara calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin, calon Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee dan calon Parti Keadilan Rakyat Ansari Abdullah.

Kerusi itu sebelum ini diwakili Datuk Edmund Chong Ket Wah dari BN yang meninggal dunia akibat nahas jalan raya pada 9 Okt. Tsen adalah balu Chong.

Proses pengundian di kedua-dua kawasan bermula pada 8 pagi tadi.

Di Galas, sehingga 4.30 petang tadi, seramai 8,073 pengundi atau 69.88 peratus daripada keseluruhan 11,553 pemilih berdaftar di situ telah mengundi hari ini.

Penjumlahan undi dijalankan di Pusat Sivik Gua Musang dan keputusan dijangka diumumkan seawal 8 malam ini.

Di Sandakan, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Batu Sapi, Mohamad Hamsan Awang Supain, berkata sehingga 4 petang, seramai 14,725 orang atau 57.56 peratus daripada 25,582 pemilih berdaftar di situ, telah mengundi.

Pengiraan undi akan diadakan di Dewan Masyarakat Sandakan dan keputusan dijangka juga dapat diketahui seawal 8 malam ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

YB Baru Mahu Kotakan Janji

Artikel Berikut

Artikel Lain