suria

Pemilik Kedai Elektrik Ditemui Mati Dengan Kesan Tikaman Di Dada

KUALA LUMPUR: Mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui di tempat simpanan barang di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Awan Jawa, Taman Yarl dekat sini petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata lelaki berumur sekitar 20an itu dijumpai orang awam pada pukul 1 petang, dengan satu kesan tikaman di dada kiri.

"Lelaki yang dipercayai pemilik sebuah kedai elektrik itu mati dalam tempoh 24 jam lepas," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Menurutnya lelaki itu dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dipindahkan ke belakang kereta Toyota Hilux bernombor pendaftaran WPC 3278 yang diletakkan di belakang deretan kedai di kawasan itu.

Katanya lelaki yang lengkap berpakaian itu ditemui dalam keadaan terlentang dan semakan terhadap kenderaan itu mendapati ia didaftarkan atas nama syarikat lelaki berkenaan.

Ku berkata mayat itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya menghubungi polis. -BERNAMA

Artikel Sebelum

YB Baru Mahu Kotakan Janji

Artikel Berikut

Artikel Lain