suria

Tengku Razaleigh Puas Hati Semangat Sepakat Jentera BN Di Galas

GUA MUSANG: Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berpuas hati dengan prestasi jentera Barisan Nasional (BN) yang menjalankan tugas dengan baik walaupun menggunakan strategi berkempen yang sederhana.

"Saya tengok pekerja kita bersemangat walaupun ada masalah sikit-sikit, itu kerana ramai yang terlibat tetapi secara umumnya kerjasama sangat baik dan tindakan-tindakan yang dibuat oleh mereka juga nampak sepakat.

"(Apa yang penting) kita telah mengatur kempen cara sederhana tanpa rapat umum," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis meraikan sambutan Deepavali di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Galas berkata, pendekatan kempen itu bukan sahaja tidak mengganggu rakyat malah tidak menyebabkan kesesakan lalulintas di kawasan berkenaan.

"Saya suka tengok perkara seumpama ini diamalkan kalau boleh pada masa depan tidak perlu ceramah pun, kita guna televisyen, radio dan video untuk ahli-ahli dan pemimpin politik menyampaikan pandangan, sekarang zaman moden, zaman teknologi maklumat.

"Sekali sekala boleh turun berjabat tangan dengan pengundi, cara ini sudahpun dipraktikkan oleh negara-negara maju dan moden, saya rasa tidak perlu lagi kita guna cara lama yang menyusahkan rakyat," katanya.

Ditanya mengenai peluang BN untuk merampas kembali kerusi itu menjelang hari pengundian esok, Tengku Razaleigh berkata, "50-50".

Katanya, jentera BN akan menggunakan sepenuhnya hari terakhir berkempen bagi menarik sokongan penduduk Galas terhadap BN.

Sementara itu, beliau berharap 185 pengundi kaum India di Galas akan memberikan sokongan penuh kepada calon BN, Abdul Aziz Yusoff bagi membolehkan agenda pembangunan di Gua Musang terus dilaksanakan, sekaligus memberi banyak manfaat kepada penduduk.

Pada pilihan raya kecil itu, Abdul Aziz akan berdepan calon Pas, Dr Zulkefli Mohamad. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain