suria

N45 Galas: Calon Manfaat Setiap Saat Tarik Sokongan Pengundi

GUA MUSANG: Sepertimana pusingan akhir dalam mana-mana pertandingan, calon yang bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, mempergunakan setiap detik untuk memancing sokongan sebelum pengundian Khamis ini.

Menerusi gerak kerja kempen yang dilipat gandakan, Abdul Aziz Yusoff dari Barisan Nasional (BN) dan Dr Zulkefli Mohamad dari PAS tidak sesekali membazirkan masa untuk cuba mendekati semua 11,553 pengundi dengan matlamat meraih sokongan.

"Penat, memang penat tetapi kalau boleh saya nak jumpa semua pengundi. Saya perlu bersemuka dan terangkan segala isu berbangkit. Masa yang tinggal amat mustahak.

"Jadual memang padat. Pendekatan yang diterapkan Pengarah Pilihan Raya (Tengku Razaleigh Hamzah) memerlukan saya bertemu dan bersemuka dengan semua orang. Saya perlu lebih pantas," kata Abdul Aziz ketika ditemui semasa berkempen di Stesen Kereta Api Gua Musang, Selasa.

Memulakan program hariannya dengan bersarapan di Stesen Kereta Api Gua Musang seawal 8 pagi, Setiausaha Umno Gua Musang berumur 49 tahun itu meneruskan kempen dengan mesyuarat ringkas bersama Tengku Razaleigh di Bilik Gerakan BN di Bukit Cekati dan dari situ bermula misi kempen bertemu rakyat Galas sehingga 12 malam.

Menurut bekas Pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu, walaupun jadual kempennya tersusun, namun perubahan di saat-saat akhir tetap berlaku apabila beliau lebih diperlukan untuk berada di sesuatu lokasi yang berlainan.

"Walaupun dilihat tersusun, jadual saya boleh berubah mengikut keperluan. Ini juga sering berlaku. Ia memerlukan saya lebih bertenaga.

"Saya mahu pengundi di DUN Galas membuat pilihan yang bijak dalam memilih wakil rakyat yang boleh berkhidmat dan membawa pembangunan kepada mereka. Saya tidak mahu penduduk tersalah pilih seperti yang berlaku dalam pilihan raya umum 2008. Untuk itu, saya perlu bertemu dengan sebanyak orang yang saya boleh dan bercakap dengan mereka," katanya.

Pilihan raya pada 4 November ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Abdul Aziz dan Dr Zulkefli dari PAS. Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 46, dari PAS, pada 27 September.

Kerusi DUN Galas mempunyai 11,533 pemilih berdaftar dengan majoritinya adalah Melayu iaitu sebanyak 7,125 pengundi, Cina (2,317), India (185), orang Asli (1,889) dan lain-lain 10 orang.

Abdul Aziz, anak kelahiran Kampung Bertam Baru, dekat Paloh di sini, mula mencurahkan bakti kepada masyarakat setempat selepas menyertai Kesedar sejak 1983, dengan hanya berbekalkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia.

Kempen di Galas dilihat cukup mencabar apabila calon terpaksa meredah laluan sempit untuk mengunjungi pos-pos orang Asli malahan bandar Gua Musang kini tenggelam dengan warna biru dan hijau.

Namun bendera BN lebih menguasai bandar Gua Musang apabila jentera parti menggantung kain rentang berwarna biru dan lambang dacing yang panjang di kedua-dua hala di Jalan Gua Musang-Merapoh dengan menggantungkannya di pokok-pokok sehingga ke bulatan Gua Musang, iaitu penghujung bandar berkenaan.

Sementara itu, disebalik berat badan yang menjadi pertikaian, Dr Zulkefli dilihat lebih agresif dalam berkempen bagi membolehkannya bergelar 'Yang Berhormat' selepas cubaannya selama tiga kali dalam Pilihan Raya Umum sebelum ini untuk menjadi Anggota Parlimen Gua Musang, gagal. Di sebalik andaian bahawa dirinya telah dikenali pengundi Galas, pengamal perubatan yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang berusia 44 tahun itu kelihatan masih bergantung kepada 'aura' Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berkempen dan meraih sokongan.

Walaupun Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS bagi DUN Galas Datuk Wan Rahim Wan Abdullah menyatakan parti itu berkeyakinan tinggi untuk memenangi sokongan kaum Cina, khususnya golongan peniaga sama ada di Bandar Baru atau Bandar Lama Gua Musang, kempen dua hari terakhir mereka masih memerlukan sentuhan Menteri Besar Kelantan itu untuk menyentuh hati pengundi Tionghua. Sungguhpun kempen di Galas dianggap sebagai kempen paling 'sunyi' di antara 12 pilihan raya kecil yang berlangsung selepas pilihan raya umum lalu, kerancakan itu mula terasa apabila kedua-dua calon mempergiatkan usaha dalam tempoh dua hari ini menerusi pendekatan tersendiri sebelum wisel penamat ditiup menjelang detik tengah malam, pukul 12 tengah malam Rabu. - BERNAMA

Artikel Lain