suria

Gagasan 1Malaysia Diterima Baik Pengundi Batu Sapi Dan Galas - Rais

SANDAKAN: Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertujuan meletakkan asas perjuangan bersama untuk semua rakyat Malaysia mendapat maklum balas baik daripada pengundi Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri Galas.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata 1Malaysia yang diperjuangkan Perdana Menteri itu memberi ruang kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan kepercayaan untuk bersama-sama Najib membawa negara ke arah pencapaian lebih tinggi.

"Masyarakat di Galas dan Batu Sapi sudah nampak keikhlasan Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Razak dengan gagasan 1Malaysianya untuk meletakkan asas perjuangan kita bersama. Setiap orang mempunyai satu kepentingan.

"Di Batu Sapi, saya lihat kecenderungan rakyat untuk menyokong kerajaan pimpinan Najib dengan gagasan 1Malaysia, melebihi 55 peratus. Ini bagi kita merupakan satu petanda yang baik," katanya kepada pemberita selepas ditemubual Sandakanfm yang disiarkan secara langsung.

Sehubungan itu, Rais berharap rakyat di Batu Sapi akan terus bersatu tenaga untuk menyokong kerajaan pimpinan Najib melalui gagasan 1Malaysia serta Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman untuk menjulang Sabah ke tahap lebih tinggi.

Menurut Rais, mungkin masih terdapat beberapa kelemahan di sana sini ataupun masih ada janji-janji kerajaan yang belum ditunaikan namun perkara itu sedang diselesaikan pihak kerajaan.

Terdahulu, ketika diwawancara di Sandakanfm, Rais berkata program jalur lebar di Sabah kini berjalan dengan baik dengan 10,000 unit komputer riba sudah diedarkan kepada pelbagai sektor yang layak termasuk pelajar-pelajar sekolah.

Katanya 20,000 unit komputer seperti itu lagi akan dibekalkan kepada pelajar serta pihak yang berhak menerimanya di Sabah dalam fasa kedua berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan kerajaan.

Rais berkata program berkenaan juga akan dimantapkan lagi melalui pembinaan lebih banyak menara komunikasi bagi mewujudkan kemudahan "kampung tanpa wayar" (kampung wifi) supaya jurang digital bandar dan luar bandar dapat dikurangkan.

Melalui pendekatan itu, katanya, setiap kampung yang mempunyai kemudahan bekalan talian telefon awam boleh menikamati kemudahan itu (kampung wifi) manakala kampung yang tidak memiliki kemudahan seperti itu pula akan dibekalkan dengan kemudahan V-Set bagi membolehkan penduduk mendapat kemudahan yang sama meskipun melibatkan kos lebih sedikit .

"Tidak kurang dariada 600 buah kampung akan kita bekalkan dengan kemudahan kampung tanpa wayar berkenaan. Saya yakin dengan bekalan ini kemudahan internet dapat digunakan secara meluas," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain