Pelajar Dakwa Guru Guna Seterika Panas Kejut Untuk Solat Subuh - Semasa | mStar

Pelajar Dakwa Guru Guna Seterika Panas Kejut Untuk Solat Subuh

PASIR MAS: Seorang guru di asrama sebuah sekolah menengah di sini didakwa menggunakan seterika panas untuk mengejutkan 11 pelajar yang lewat bangun untuk menunaikan solat Subuh dalam satu kejadian pada 12 Oktober lepas.

Dua daripada pelajar berkenaan, Muhammad Al-Hakim Mat Nawi, 16, dan adiknya Muhammad Fairuz, 14, mendakwa kejadian berlaku kira-kira 6.15 pagi ketika mereka sedang nyenyak tidur.

Berikutan itu kedua-dua beradik tersebut melecur di bahagian kaki dan lengan menyebabkan keluarga mereka membuat laporan polis pada keesokannya.

Mengulas kejadian itu kepada pemberita di sini, Muhammad Al-Hakim berkata pada kebiasaannya penghuni dormitori itu bangun kira-kira pukul 6 pagi untuk bersiap menunaikan solat Subuh.

"Entah kenapa pada hari itu ramai daripada kami nyenyak sangat tidur dan ketika itu saya terkejut apabila terasa sesuatu yang panas pada bahagian tapak kaki kiri dan selepas tersedar saya tengok cikgu tersebut berdiri sambil memegang seterika panas.

"Ketika itu dalam dom kami ada 14 pelajar tetapi tiga daripadanya telah bangun lebih awal menyebabkan mereka terselamat," katanya.

Adiknya, Muhammad Fairuz mengalami lecur di bahagian lengan kiri akibat terkena seterika panas tersebut.

Muhammad Al-Hakim mendakwa sebelum ini guru tersebut pernah mengejutkan mereka dengan cara merotan, menyimbah air sabun serta menggunakan penyapu yang diletakkan di muka.

Ibu mereka, Siti Fatimah Yusof, 52, berkata dia hanya mengetahui insiden itu pada petang hari kejadian selepas salah seorang saudaranya membawa Muhammad Fairuz pulang ke rumah, menyebabkan dia ke sekolah tersebut dan membawa Muhammad Al-Hakim pulang.

"Saya tidak kisah sekiranya anak saya dihukum atau dilakukan apa sahaja oleh cikgu untuk mengajar tetapi kalau guna seterika panas untuk kejut sembahyang Subuh saya rasa itu bukan cara yang betul," katanya.

Katanya, dia turut ke sekolah tersebut bagi mendapatkan penjelasan daripada pengetua serta guru terbabit, namun mereka bukan saja tidak memohon maaf bahkan pihak sekolah turut mempertahankan tindakan guru berkenaan.

"Saya hanya mahukan keadilan, sekurang-kurangnya guru tersebut meminta maaf atas kejadian tersebut tetapi sebaliknya mereka mempertahankan tindakan tersebut serta memarahi saya dan meminta saya menarik semula laporan polis yang dibuat," katanya.

Katanya, Muhammad Fairuz yang merupakan anak kelapannya kini berada dalam keadaan trauma sehingga kadang kala enggan bercakap dan bertemu sesiapa serta takut untuk ke sekolah selepas peristiwa tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner (ACP) Haliluddin Rahim mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada 13 Oktober lepas dan polis telah menahan guru terbabit yang berumur lingkungan 40-an untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

"Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata merbahaya dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Pemandu Bas Ditahan Reman Empat Hari

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Hamidin dipilih presiden MFL baharu