suria

MIC Pastikan BN Capai Kemenangan Di Galas

GUA MUSANG: Naib Presiden MIC, Datuk Dr S. Subramaniam berkata biarpun jumlah pengundi kaum India di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas hanya sebilangan kecil iaitu seramai 186 orang, ia merupakan satu jumlah penting yang tidak boleh dipandang ringan.

Subramaniam, yang juga Menteri Sumber Manusia, berkata MIC akan memastikan jumlah kecil itu mampu menyumbang dan membantu BN mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil DUN itu.

"Walaupun memiliki jumlah pengundi yang kecil, 186 orang yang berdaftar, tetapi kita punyai jumlah yang mustahak.

"Menang atau kalah dalam pilihan raya kecil ini adalah dengan setiap satu bilangan yang penting, bermakna 186 undi mustahak untuk BN," katanya selepas majlis pertemuan bersama pengundi kaum India di sini malam tadi.

Beliau berkata daripada jumlah itu jentera MIC telah mengenal pasti lebih 150 pengundi yang bakal menberi sokongan penuh terhadap BN.

"Jentera MIC bermula dari peringkat atasan sehingga ke akar umbi akan turun bersama-sama untuk berkempen pada pilihan raya kali ini.

"Kita juga sedang dalam peringkat untuk berjumpa lebih 150 pengundi itu dan cuba membantu mereka selesaikan masalah-masalah yang dihadapi mereka dan menaruh harapan tinggi agar mereka membantu memberi sokongan," katanya.

Selain itu, Subramaniam berkata MIC juga telah mengenal pasti beberapa permasalahan yang dibangkitkan pengundi kaum minoriti itu antaranya isu keperluan tanah perkuburan dan pembinaan kuil yang memerlukan peruntukan khas.

Katanya jentera MIC telah memanjangkan isu berkenaan kepada pengetahuan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil BN Dun Galas.

Subramaniam berkata Tengku Razaleigh memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah itu.

Pilihan raya kecil DUN Galas ditetapkan pada 4 November berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima dari PAS meninggal dunia akibat barah usus pada 27 September lepas. -BERNAMA

Artikel Lain