suria

Muhyiddin Tiba Di Sandakan Untuk Hadiri Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil Batu Sapi, Selasa

SANDAKAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini hari ini untuk menghadiri penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi yang akan berlangsung pada Selasa.

Beliau tiba di Lapangan Terbang Sandakan kira-kira 5.10 petang dengan menaiki pesawat khas bersama-sama Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Presiden Parti Progresif Penduduk Datuk M.Kayveas dan Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.

Ketibaan beliau dan rombongan disambut oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, kedua-dua timbalannya Datuk Seri Yahya Hussin dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan serta calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil itu, Datin Linda Tsen.

Muhyiddin, yang juga penyelaras BN bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, kemudiannya menghadiri mesyuarat tertutup BN di sebuah hotel di sini sebelum makan malam bersama pemimpin-pemimpin tempatan parti komponen BN. - BERNAMA

Artikel Lain