suria

Hubungan Akademia-Industri Bantu Atasi Masalah Ketidakpadanan - Mohamed Khaled

PUTRAJAYA: Hubungan dan kerjasama antara akademia dan industri dapat membuka peluang menangani isu ketidakpadanan kemahiran antara graduan yang menganggur dengan kehendak pasaran pekerjaan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata masalah ketidakpadanan perlu dielak kerana ia boleh mendorong kepada tempoh latihan berpanjangan, kerugian sumber kewangan yang keterlaluan serta menjejaskan tempoh pengalaman.

Katanya hubungan itu juga akan menyokong usaha institusi pengajian tinggi untuk memperluas dan memperkukuhkan keupayaan kejuruteraan menerusi komitmen kedua-dua pihak dalam perkongsian kepakaran dan penggunaan kemudahan penyelidikan.

"Oleh itu, hubungan akademia dan industri dianggap saluran penting bagi memindahkan pengetahuan dari akademia kepada sektor industri," katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Pengajian Tinggi dan Western Digital (M) Sdn Bhd di sini, Isnin.

Menerusi MoU itu, Mohamed Khaled berkata ia akan membantu merangsang aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam bidang kejuruteraan dan aplikasi teknoloji baru dan canggih khususnya dalam bidang penyimpanan data dan teknologi pemacu cakera keras media.

Katanya pihak industri juga boleh menyumbang dalam bentuk pembangunan kurikulum, peralatan khas dan latihan kepakaran kepada universiti dan institusi pengajian tinggi yang lain.

"Institusi pengajian tinggi boleh bertindak sebagai pembekal latihan dan menyediakan kurikulum mengikut keperluan dan melahirkan pelajar berkualiti, kemahiran berpengetahuan dan cekap dalam bidang yang diperlukan," katanya.

Mohamed Khaled berkata di bawah MoU itu, tiga pensyarah dari Politeknik Shah Alam akan mengikuti program penempatan dengan Western Digital bulan depan dan kira-kira 10 pelajar akan memulakan program latihan 'internship' selama enam bulan bermula Disember ini dengan syarikat itu. - BERNAMA

Artikel Lain