suria

Seorang Warga Emas Meninggal Dunia Akibat Dilontar Batu

GEORGE TOWN: Seorang warga emas mati dipercayai akibat terkena lontaran batu di flat Projek Perumahan Rakyat di Sungai Pinang pada Sabtu.

Koi Phen Chan, 64, pemandu kereta 'sapu' (teksi tanpa lesen) dari Jalan Perak mati di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata siasatan awal polis mendapati mangsa mati akibat pendarahan teruk di bahagian kepala.

Menurutnya polis juga menjumpai seketul batu seberat 200 gram yang dipercayai dilontar oleh suspek dari tingkat atas flat berkenaan.

"Seorang lelaki berumur 20-an juga ditahan selepas mengambil kesempatan untuk mencuri dompet dan telefon bimbit mangsa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini Sabtu.

Gan berkata kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Inspektor Ibrahim di talian 013-4222424 atau 04-2282222 untuk membantu siasatan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain