suria

PPP Harap BN Waspada Dalam Terima Ahli Baru

KUALA LUMPUR: Parti Progresif Penduduk (PPP) mahu Barisan Nasional (BN) supaya berhati-hati dalam menerima mana-mana badan bukan politik yang hendak bergabung atau bersekutu dengan BN apabila perlembagaannya dipinda.

Presidennya Datuk M. Kayveas berkata sikap memilih itu penting bagi memastikan tiada pertubuhan atau kumpulan berasaskan perkauman atau bermasalah diterima masuk dalam gagasan BN.

"Saya menentang sama sekali politik berasaskan perkauman," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Kayveas berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan pindaan perlembagaan BN bagi menerima individu, badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang mendukung perjuangan BN dan mahu bersama-sama BN seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada awal tahun ini.

Terdahulu itu, Kavyeas merasmikan forum mengenai nasib pelarian Tamil dari Sri Lanka di Malaysia yang dianjurkan oleh sebuah NGO.

Kayveas berkata beliau bersimpati dengan nasib 3,970 pelarian Tamil dari Sri Lanka di Malaysia yang masih tidak menentu walaupun mereka sudah berada di negara ini selama enam bulan.

Katanya beliau akan meminta kerajaan supaya pelarian itu dibenarkan bekerja di negara ini sementara menunggu penghantaran mereka ke negara ketiga oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR). - BERNAMA

Artikel Lain