suria

Makmal Terbesar Lumpuh, Dadah Bernilai RM20 Juta Dirampas

SEREMBAN: Dua hari selepas membongkar sebuah makmal dadah di George Town, Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi mencatatkan kejayaan apabila melumpuhkan sebuah lagi makmal dengan rampasan dadah terbesar bernilai RM20 juta di Seremban 2, pada Sabtu.

Serbuan yang dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada pukul 10.45 pagi itu menyaksikan 318.4 kilogram dadah jenis eramin 5 yang siap untuk pasaran dirampas dan tiga lelaki ditahan.

Bercakap pada sidang media di sini pada Ahad, Timbalan Pengarah 1 JSJN Bukit Aman Datuk Othman Harun berkata makmal itu yang lengkap dengan peralatan memproses dadah adalah yang terbesar diserbu PDRM tahun ini.

"Dua lelaki berusia 23 dan 40 tahun ditahan di makmal yang terletak di premis rumah kedai di Taman Oakland itu, manakala siasatan awal membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki dipercayai ketua mereka di Lukut," katanya.

Beliau berkata pembongkaran terbaru itu juga mendedahkan aktiviti memproses dadah kini dipelopori warga tempatan yang mungkin berpunca daripada kesukaran menyeludup masuk dadah ke negara ini sekarang.

"Jika dahulu warganegara asing menjadi pelopor. Di Johor Baharu pada tahun 2008 misalnya rakyat Taiwan menjadi dalang dan kemudian pada tahun 2009 di Pulau Pinang, rakyat Indonesia menjadi ketuanya," katanya.

Pihak terbabit juga kata beliau, mempunyai pengetahuan untuk memproses dadah selain akses mendapatkan bahan mentah dan mesin yang sememangnya tersedia dalam negara.

"Kita akan menyiasat jika kumpulan ini berselindung di sebalik nama syarikat farmasi untuk membeli bahan dan mesin untuk membentuk dadah ini menjadi tablet dan kemudian membungkusnya," katanya.

Mengulas lanjut, Othman berkata salah seorang lelaki yang ditahan di makmal dadah tersebut didapati mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan mekanikal.

Katanya polis juga percaya dadah itu adalah untuk edaran domestik sahaja.

Bernama difahamkan permintaan untuk eramin 5 sangat tinggi kerana harganya lebih murah berbanding syabu, iaitu hanya antara RM12 dan RM15 sebiji, atau RM100 bagi setiap papan yang mempunyai 10 biji pil.

Syabu pula dijual pada harga RM200 satu tiub, dan kandungan utama kedua-dua jenis dadah ini adalah heroin.

Kelmarin PDRM membongkar kegiatan memproses dadah jenis heroin di sebuah kondominium di George Town dan menangkap dua lelaki dengan nilai rampasan sekitar RM1 juta. - BERNAMA

Artikel Lain