suria

BN Sabah Bersedia Bersemuka Dengan Calon Lawan

SANDAKAN: Barisan Nasional (BN) Sabah yakin dengan persediaan dan gerak kerja semua parti komponen BN negeri dalam menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata jentera BN sudah beroperasi dan bersedia untuk bertembung secara bersemuka dengan pencabar dari parti lawan.

"Apa yang penting sekarang adalah kerjasama semua pihak dan memastikan bahawa sesiapa sahaja yang terpilih sebagai calon BN akan mencapai kemenangan bagi memberi khidmat kepada rakyat," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, Jumaat.

Musa merupakan pengarah operasi BN bagi pilihan raya kecil itu.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dari BN, dalam satu kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 26 Oktober ini sebagai hari penamaan calon dan 4 November ini sebagai hari pengundian jika ada sebarang pertandingan.

BN dijangka mengumumkan calonnya di sini pada Ahad ini.

Pada Khamis, Parti Maju Sabah (SAPP) telah menyatakan hasrat untuk mengumumkan calonnya, Sabtu walaupun diminta tidak berbuat demikian oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi memastikan pertemuan satu lawan satu antara pakatan pembangkang dan BN. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain