suria

APMM Gagalkan Taktik Baru Seludup Rokok Melalui Feri Penumpang

PELABUHAN KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pelabuhan Klang menggagalkan taktik baru penyeludupan rokok ke negara ini menggunakan feri penumpang apabila merampas 266 karton rokok pelbagai jenama di perairan Pelabuhan Barat di sini Jumaat.

Ketua Penguatkuasaan Maritim Malaysia Wilayah Selatan Laksamana Pertama Zulkifli Abu Bakar berkata dalam rampasan yang dilakukan itu pihaknya menemui kesemua rokok berkenaan di bahagian bagasi feri tersebut dan disembunyikan dalam beberapa kotak barangan makanan dan sabun.

"Berdasarkan maklumat orang awam, ketika rondaan kira-kira pukul 4.20 petang semalam bot APMM telah menahan sebuah feri penumpang Pasific Jetstar 1 kira-kira 0.7 batu nautika di perairan Pelabuah Klang, yang dalam perjalanan dari Tanjung Balai Asahan, Indonesia ke jeti Pulau Ketam di sini. "Sebaik pemeriksaan kita menemui kesemua rokok berkenaan yang dianggarkan bernilai RM20,014 termasuk duti import dan eksais," katanya dalam sidang media di sini Sabtu.

Beliau berkata antara jenama rokok yang dirampas ialah Marlboro, Gudang Garam Suria, Lucky Strike dan Dji Sam Seu. Zulkifli berkata taktik baru itu dipercayai pertama kali digunakan kerana berdasarkan rekod penyeludupan rokok sebelum ini ia dilakukan menggunakan bot fiber.

Beliau berkata kesemua tiga krew dan 149 penumpang yang merupakan warganegara Indonesia di dalam feri berkenaan tidak mengaku pemilik rokok yang dirampas.

Walaubagaimanapun, pihaknya telah mengambil keterangan kesemua mereka sebagai rujukan sekiranya berlaku rampasan baru kelak, katanya.

Zulkifli berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, beliau berkata pemantauan yang berterusan akan dilakukan di semua perairan di Wilayah Selatan memandangkan APMM menjangkakan penyeludupan rokok akan terus berleluasa berikutan peningkatan harga rokok.

"Kita akan mempergiatkan pemeriksaan terutamanya membabitkan feri penumpang kerana kita percaya penyeludup akan menggunakan taktik baru itu dan membawa masuk rokok ke negara ini dalam kuantiti lebih kecil berbanding sebelum ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain