suria

Pembunuhan Banting: Dua Penghapus Bukti Dipenjara 28 Tahun

BANTING: Dua lelaki dihukum penjara 28 tahun setiap seorang selepas mengaku salah bagi empat pertuduhan menghilangkan bukti berkaitan pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu yang lain.

Pengakuan salah U. Suresh, 26, dan K. Saravanan, 19, direkodkan di hadapan Majistret Hurman Hussain di Mahkamah Majistret Telok Datok di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun, Hurman memerintahkan hukuman bagi semua pertuduhan berjalan serentak dari tarikh tangkap.

Oleh itu tertuduh hanya akan menjalani hukuman selama tujuh tahun seorang.

Saravanan didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara membakar mayat manakala Suresh didakwa membuang abu mayat mangsa.

Saravanan didakwa telah membakar mayat Sosilawati, 47, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38, peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada antara pukul 9.45 malam dan 12 tengah malam, 30 Ogos lalu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, di sini.

Suresh pula didakwa membuang abu mayat mangsa di Sungai Panchau, Jalan Morib, di sini, pada antara pukul 8 dan 10 pagi, 31 Ogos lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat untuk mengelakkan empat individu termasuk seorang peguam berhadapan dengan tindakan undang-undang bagi pertuduhan membunuh mangsa.

Mereka ialah N. Pathmanabhan, 41, T.Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Kathavarayan, 30, yang didakwa di mahkamah sama pada Rabu lalu.

Berdasarkan fakta kes, Saravanan telah mengambil minyak petrol dan diesel, mengangkat dan meletakkan mayat mangsa di atas longgokan kayu-kayu yang disusun sebelum dicurahkan minyak dan dibakar.

Suresh yang berada di ladang milik Pathmanabhan pada keesokan harinya melihat Thilaiyalagan dan Matan memasukkan abu mayat ke dalam sebuah tong biru dan dibawa ke Sungai Panchau menggunakan kereta Isuzu D-Max.

Dia juga diarahkan untuk membersihkan tempat pembakaran dan membuang sisa kayu di tempat pembuangan sampah Sungai Arak, Kampung Kelanang di sini dan kepingan zink ke dalam sungai di situ.

Sementara itu, peguam Roslie Sulle yang mewakili Sarawanan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang rendah memandangkan tertuduh, anak bongsu daripada empat beradik merupakan penanggung tunggal keluarga.

Sementara itu, Suresh pula menerusi peguam Muhammad Naguib Abdul Malik merayu hukumannya diringankan memandangkan anak sulung daripada dua beradik itu membantu ibu yang bekerja sebagai tukang cuci.

Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff bagaimanapun memohon supaya mahkamah tidak memberikan diskaun dan menjatuhkan hukuman maksimum terhadap tertuduh.

“Hukuman maksimum digubal untuk situasi kes yang paling teruk dan kes ini boleh dikategorikan sebegitu kerana cuba melupuskan bukti jenayah bunuh,” tambahnya yang mengendalikan pendakwaan bersama Idham Abd Ghani.

Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya Shaiful Edris Zainudin meminta mahkamah mempertimbangkan fakta bahawa kejadian yang berlaku melibatkan ramai mangsa termasuk salah seorang yang sangat dikenali.

Hurman bagaimanapun berkata, hukuman tidak boleh dijatuhkan berdasarkan status mangsa.

“Ia adalah satu jenayah dan hukuman tidak kira sama ada mangsa ialah seorang ketua eksekutif ataupun pengemis. Hukuman adalah kerana sifat kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Tertuduh yang kelihatan tenang sepanjang prosiding secara peribadi juga memohon maaf di atas perbuatan mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Lain