suria

Konspirasi Dalang Paksa Rahimi Tandatangan Akuan Bersumpah - Wee

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong mendakwa wujudnya konspirasi dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung akuan bersumpah yang ditandatangani Muhamad Rahimi Osman, 26, bagi memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata, niat jahat berkenaan disedarinya apabila mengetahui bahawa ada 'pihak tertentu' yang tidak berpuas hati dengan akuan bersumpah pertama yang ditandatangani bekas Setiausaha Sulit Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Jelas beliau, menerusi akuan bersumpah pertama yang ditandatangani Muhamad Rahimi, tidak langsung mengaitkan mana-mana pihak berhubung kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan bekas pembantu khasnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

"Saya boleh katakan 100 peratus dalam akuan bersumpah pertama yang dikatakan oleh pihak tertentu telah hilang, kandungannya tidak menuduh sesiapa terlibat dalam laporan polis Mohd Saiful.

"Ia hanya mengenai perasaan takut (Rahimi) mengenai keselamatannya, hanya tentang itu. Sebab itu saya terkejut, mengapa dalam akuan bersumpah kedua ada menyatakan Perdana Menteri terlibat," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Rabu.

Wee berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Ketua Penerangan PKR, Latheefa Koya yang mendedahkan bahawa beliau terlibat semasa Muhamad Rahimi menandatangai akuan bersumpahnya.

Tambah Wee yang juga seorang peguam, beliau hanya terlibat dalam akuan bersumpah pertama sebagai Pesuruhjaya Sumpah.

"Saya amat kecewa apabila Latheefa libatkan saya. Dari awal lagi saya tak mahu campur tangan dalam skandal ini sebab saya tahu bahawa (motif) akuan bersumpah kedua ini merupakan skandal dan konspirasi untuk mencemarkan imej pihak tertentu.

"Ia hanya untuk tujuan politik, Latheefa ini saya anggap seperti seorang budak politik tak matang, dia mungkin dalam keadaan terdesak untuk membebaskan diri sendiri daripada kemungkinan didakwa oleh polis mengenai akuan bersumpah (kedua) yang didakwa Muhamad Rahimi sebagai palsu," katanya.

Menceritakan mengenai situasi pada malam 28 Jun 2008 semasa beliau hadir di Hotel Quality Shah Alam, Muhamad Rahimi dibawa masuk ke salah satu bilik di hotel berkenaan dengan diiringi beberapa orang individu.

Menurut Wee, beliau kemudiannya dibawa bertemu dengan Anwar bagi mengadakan perbincangan di dalam bilik lain selama lebih kurang satu jam.

"Apabila Muhamad Rahimi keluar, beliau diminta menandatangani satu akuan bersumpah dalam bahasa Malaysia. Masa itu lebih kurang pukul 2 atau 3 pagi pada 29 Jun.

"Ketika itu saya nampak Muhamad Rahimi dalam keadaan gementar dan tertekan," katanya.

Minggu lalu Muhamad Rahimi membuat laporan polis mendakwa dia dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah pada Jun 2008 berhubung kes liwat Anwar,

Satu lagi akuan bersumpah yang dipaksa ditandatangani adalah melibatkan kes fitnah terhadap Perdana Menteri dan isteri.

Artikel Berikut

Artikel Lain